Khidmat kepada rakyat Petaling Jaya diteruskan seperti biasa – DS Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Program MADANI Kita bersama-sama komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Oktober – Perkhidmatan kepada rakyat di Parlimen Petaling Jaya akan terus diselaraskan seperti biasa susulan peletakan jawatan Lee Chean Chung sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan perkhidmatan melibatkan ketua cabang, ADUN, ahli majlis dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Selangor.
  • ICU Selangor membantu memastikan permohonan bantuan dan sumbangan penduduk diuruskan dengan baik.
  • Perdana Menteri Anwar menegaskan peletakan jawatan Lee tidak menjejaskan pembangunan atau peruntukan Petaling Jaya.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, penyelarasan berkenaan akan membabitkan ketua cabang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli majlis serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan segala urusan berkaitan permohonan bantuan dan sumbangan penduduk Petaling Jaya terus dapat dikendalikan dengan baik.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, khidmat kepada rakyat di Parlimen Petaling Jaya akan diteruskan.

“Kita mempunyai ketua cabang, ADUN dan ahli majlis. Pihak ICU Selangor juga akan membantu memastikan sebarang permohonan sumbangan dan bantuan diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program MADANI Kita bersama Komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, di sini, hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata, beberapa pihak di peringkat ADUN dan cabang akan membantu menyelaraskan urusan perkhidmatan kepada penduduk kawasan berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peletakan jawatan Lee tidak akan menjejaskan pembangunan serta peruntukan untuk kawasan Petaling Jaya.

Datuk Seri Anwar turut berkata, Lee sudah kira-kira setahun tidak terlibat dalam urusan parti, termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan Kongres PKR.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.