
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Pra-eklampsia atau tekanan darah tinggi ketika hamil disifatkan sebagai ‘pembunuh senyap’ yang boleh mengancam nyawa ibu serta kandungan jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
- Tanda awal pra-eklampsia: tekanan darah naik, bengkak kaki dan protein dalam air kencing.
- Lebih berisiko ialah ibu hamil kali pertama, berumur lebih 35 tahun, obesiti atau mempunyai sejarah pra-eklampsia.
- Tiada pencegahan penuh; kurangkan risiko dengan aspirin atas nasihat doktor dan asid folik tiga bulan sebelum hamil.
- Dapatkan pemeriksaan doktor berkala dan laporkan simptom seperti sakit kepala, loya, muntah atau penglihatan kabur untuk pengesanan awal.
Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Anita Rina Ali berkata, keadaan itu boleh berlaku kepada wanita yang kelihatan sihat, namun mengalami masalah kesihatan dalaman tanpa disedari.
“Sebanyak 1.6 peratus wanita hamil di Malaysia mengalami pra-eklampsia. Dari luaran mereka kelihatan sihat, tetapi sebenarnya mempunyai masalah kesihatan dalaman,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Menurut beliau, antara tanda awal pra-eklampsia ialah peningkatan tekanan darah, bengkak pada kaki serta kehadiran protein dalam air kencing.
Golongan yang lebih berisiko termasuk wanita yang hamil kali pertama, berusia lebih 35 tahun, mengalami obesiti serta mempunyai sejarah pra-eklampsia.
Dr Anita berkata, walaupun tiada rawatan khusus untuk mencegah pra-eklampsia sepenuhnya, langkah pencegahan tertentu boleh diambil bagi mengurangkan risiko, termasuk pengambilan aspirin mengikut nasihat doktor.
Beliau turut menyarankan wanita mengambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil sebagai sebahagian daripada persediaan kehamilan.
Dalam pada itu, ibu mengandung dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berkala, terutama jika mengalami simptom seperti sakit kepala, loya, muntah, penglihatan kabur atau sakit ulu hati.
Pengesanan awal penting bagi memastikan keadaan ibu dan kandungan dipantau serta mendapat rawatan yang bersesuaian.