
KOTA BHARU, 3 Oktober – Penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta peningkatan peruntukan pembangunan infrastruktur antara harapan yang disuarakan golongan belia di Kelantan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
- Penambahbaikan fasiliti sukan dan industri bagi menyokong pembangunan bakat dan peluang ekonomi belia di peringkat negeri.
- Perluasan program pembangunan industri dan kerjaya, termasuk IPC, untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
- Mempertingkat dan meneruskan geran seperti Geran Sejati MADANI bagi menyokong aktiviti ekonomi belia akar umbi.
- Permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan peruntukan pembangunan infrastruktur, termasuk cadangan melebihi RM8 bilion.
Keutamaan itu dilihat penting bagi memperkukuh ekonomi negeri selain membendung penghijrahan anak muda ke negeri-negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan dan membina kerjaya.
Presiden Belia Kelantan, Khairul Azhar Kamaruzaman berkata, penyediaan fasiliti yang mencukupi dan ditambah baik, khususnya dalam bidang sukan dan industri, perlu diberi perhatian.
Menurutnya, peluasan program berkaitan pembangunan industri dan kerjaya juga penting bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda di negeri itu.
“Kita mahu fasiliti yang bukan sahaja cukup dan ditambah baik, terutama sekali melibatkan sukan dan juga fasiliti melibatkan ekonomi, terutama sekali industri. Program IPC yang dilaksanakan mari boleh diperluas lagi supaya anak muda di Kelantan ini dapat peluang pekerjaan dan membina kerjaya,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hanif Fitri Muhd Sawadi berkata, kesinambungan dan peningkatan peruntukan geran kepada pertubuhan belia perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan itu dapat terus melaksanakan program yang memberi manfaat kepada komuniti.
Katanya, Geran Sejati MADANI yang menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 kepada belia berpersatuan wajar diteruskan dan ditambah baik, khususnya bagi membantu aktiviti ekonomi belia di peringkat akar umbi.
“Terbaharu dah diluluskan untuk belia berpersatuan iaitu Geran Sejati MADANI yang diperuntukkan sehingga RM100,000. Geran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan diteruskan untuk membantu khususnya ekonomi belia di peringkat akar umbi supaya golongan belia ini tidak ada kekangan untuk menggerakkan program-program,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq Rosli berkata penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan perlu menjadi antara tumpuan utama Belanjawan 2027 bagi mengurangkan penghijrahan anak muda Kelantan ke negeri lain.
“Semestinya peluang pekerjaan. Seperti kita tahu, ramai anak muda kita ini berhijrah keluar semata-mata untuk mencari rezeki. Dari segi pembangunan yang dah ada, harus diteruskan dan kalau boleh, perbanyakkan lagi,” katanya.
Muhammad Afiq Aiman Mohd Haslam pula berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian terhadap pembangunan Kelantan menerusi peruntukan yang bersesuaian bagi memastikan pembangunan negeri itu bergerak seiring dengan negeri-negeri lain.
“Harap kerajaan kita pada hari ini tetap memandang serius kepada pembangunan di Kelantan dan memberikan belanjawan terbaik untuk negeri Kelantan supaya pembangunan negeri Kelantan ini seiring dengan pembangunan negeri lain,” katanya.
Sementara itu, bagi sektor pembinaan dan infrastruktur, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, berharap peruntukan pembangunan untuk Kelantan pada 2027 dapat ditingkatkan melebihi RM8 bilion.
Menurutnya, tambahan peruntukan diperlukan bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan, khususnya berkaitan infrastruktur dan kemudahan asas.
“Harapan kita pada 2027, biarlah angka yang lebih besar daripada RM8 bilion diperuntukkan untuk Kelantan, kerana negeri ini amat memerlukan projek-projek pembangunan, terutama infrastruktur yang lebih sempurna dan lebih lengkap,” katanya.
Gabungan pelaburan dalam pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi belia serta pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi dilihat penting bagi memperkukuh asas pembangunan Kelantan dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.