Kerajaan pertimbang peruntukan baharu ganti misil NSM LCS – DS Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meninjau kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) semasa lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard pada Mei lalu / Foto fail BERNAMA

KOTA TINGGI, 3 Oktober – Kerajaan mungkin perlu menyediakan peruntukan baharu bagi mendapatkan sistem peluru berpandu pengganti Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meneliti tiga pilihan sistem peluru berpandu dari negara berbeza sebagai pengganti NSM, dengan kos dianggarkan RM700 juta hingga lebih RM1 bilion.
  • Tempoh penghantaran pilihan sistem boleh mencapai sehingga empat tahun; integrasi dengan sistem pengurusan LCS turut menjadi faktor penilaian.
  • Malaysia akan memperkukuh pertahanan di Sabah susulan peningkatan kehadiran ketenteraan Filipina dan Amerika Syarikat di Pulau Balabac; penempatan tentera diimbangkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan sementara kerajaan meneruskan tuntutan bayaran bagi misil NSM daripada pihak berkaitan di Norway.

“Ini mungkin memerlukan kerajaan mempertimbangkan peruntukan baharu untuk membeli misil yang menggantikan misil dari Norway. Kalau nak tunggu bayaran itu diganti semula, saya percaya ia mungkin mengambil masa kerana pihak berkenaan akan menggunakan dan berselindung di sebalik terma-terma kontrak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Tambahan Bangunan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan sedang meneliti tiga pilihan sistem peluru berpandu dari negara berbeza bagi menggantikan NSM yang dirancang untuk digunakan pada LCS.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, kos sistem yang sedang dipertimbangkan antara 700 juta hingga lebih satu bilion ringgit.

Pemilihan turut mengambil kira tempoh penghantaran yang boleh mencecah empat tahun, selain keupayaan sistem berkenaan untuk diintegrasikan dengan sistem pengurusan LCS.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Malaysia akan terus memperkukuh kedudukan pertahanan di Sabah susulan peningkatan kehadiran ketenteraan Filipina dan Amerika Syarikat di kawasan Pulau Balabac.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, langkah itu sebagai persediaan menghadapi sebarang konflik yang boleh memberi kesan kepada keselamatan negara.

“Jadi atas sebab itulah kita kena pastikan kita dalam keadaan yang bersedia. Bukan nak berhadapan dengan Balabac, tetapi apabila berlaku pertempuran, pertembungan ataupun apa-apa yang berlaku di kawasan itu, kita perlu bersedia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini kira-kira dua pertiga anggota tentera ditempatkan di Semenanjung, manakala satu pertiga lagi di Sabah dan Sarawak.

Justeru, kerajaan mahu mengimbangkan penempatan anggota kepada 50 peratus di Semenanjung dan 50 peratus lagi di Sabah dan Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.