Orang ramai sokong larangan penggunaan Waze

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Keputusan kerajaan melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze disambut baik orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai menyokong langkah pencegahan demi keselamatan dan kepentingan negara.
  • Cegah risiko kebocoran maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna.
  • Galakkan penggunaan aplikasi navigasi alternatif kerana kebimbangan data disimpan di luar, termasuk dakwaan pusat data di Israel.

Rata-rata berpandangan, aspek keselamatan dan kepentingan negara perlu diutamakan.

Bagi Ahmad Afiq Ajmal Ahmad Kamal, langkah pencegahan wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan risiko kebocoran maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna, selain menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi alternatif.

“Saya bersetuju dengan cadangan untuk mengharamkan Waze kerana sebelum ini saya pernah mendengar bahawa walaupun Waze berada di bawah Google, pusat datanya masih terletak di Israel, saya menyokong larangan tersebut bagi menjaga keselamatan data negara.

Sebelum lebih banyak data terdedah kepada pihak luar, lebih baik kita hentikan penggunaannya. Saya sendiri sudah menggunakan Waze bertahun-tahun. Jadi, saya bersetuju sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan Waze,” kata Ahmad Afiq Ajmal.

Sementara itu, Muhammad Ozeir Suhaimi menyifatkan pencerobohan maklumat merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi, khususnya melibatkan keselamatan negara serta risiko kebocoran data kepada pihak luar.

“Saya bersetuju dengan tindakan kerajaan kerana isu pencerobohan data boleh menjejaskan keselamatan rakyat dan negara. Data kita berisiko terdedah kepada pihak luar, terutamanya kerajaan asing seperti Israel, yang tindakannya tidak kita persetujui.

Saya juga bersetuju sekiranya kita beralih kepada aplikasi alternatif lain. Sebelum ini pun, kita pernah menggunakan aplikasi navigasi lain,” kata Muhammad Ozeir.

Muhammad Asrah Zulkifli pula berpandangan tindakan kerajaan merupakan langkah wajar bagi mencegah sebarang masalah pada masa hadapan.

“Saya menyokong saranan kerajaan mengenai melarang penggunaan waze untuk mengelakkan maklumat kebocoran data dan ia penting untuk mencegah sebelum berlaku masalah,” katanya.

Rabu lalu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze, bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.