
SELANGOR, 28 Oktober – Tiga kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Puchong dan Rawang hari ini, mengakibatkan empat buah kenderaan dihempap pokok.
- Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam semua kejadian pokok tumbang.
- Beberapa kenderaan dihempap pokok di lokasi berasingan, dengan anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian.
- JBPM Negeri Selangor mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika cuaca buruk dan menjauhi pokok besar berisiko tumbang.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam ketiga-tiga kejadian berkenaan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, kejadian pertama dilaporkan pada pukul 4.40 petang di Jalan MR 1/6, Rawang.
Kejadian itu melibatkan sebatang pokok milik Majlis Perbandaran Selayang yang tumbang serta menghempap tiga buah kenderaan, masing-masing sebuah Hyundai Santa Fe, Proton Iriz dan Perodua Axia.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang menggerakkan empat anggota bersama sebuah jentera FRT-1 ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 4.54 petang.
Sementara itu, kejadian kedua berlaku pada pukul 5.05 petang di Kuarters Pendidikan, Persiaran Indera Wawasan, Pusat Bandar Puchong, apabila sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Toyota Vios.
BBP Puchong menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT-1 dan tiba di lokasi pada pukul 5.14 petang.
Operasi dilaporkan terkawal pada pukul 5.16 petang dan tamat seminit kemudian.
Kejadian ketiga pula dilaporkan pada pukul 6.49 petang di Akasia Apartment, Jalan Wawasan 2/3, Puchong, melibatkan sebatang pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta Proton Saga.
Pasukan BBP Puchong tiba di lokasi pada pukul 6.55 petang dengan kekuatan tujuh anggota serta sebuah jentera FRT-1.
Ketiga-tiga kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
JBPM Negeri Selangor terus mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika berlaku cuaca buruk dan mengelakkan kawasan berhampiran pokok besar yang berisiko tumbang.