
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Malaysia perlu memperkukuh langkah keselamatan siber secara proaktif susulan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh penjenayah siber untuk mengautomasikan serangan, mengesan kelemahan sistem dan penipuan yang semakin meyakinkan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
- Langkah keselamatan konvensional tidak memadai; organisasi mesti tingkatkan pemantauan berterusan, pengesanan awal dan langkah pertahanan proaktif.
- Sokong pembangunan penyelesaian keselamatan siber tempatan seperti keselamatan aplikasi AI, kelemahan perisian, pendedahan kelayakan dan permukaan serangan digital.
- Perkukuh penyelidikan, pengkomersialan teknologi dan kepakaran keselamatan siber untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.
Beliau berkata langkah keselamatan konvensional tidak lagi memadai untuk menangani ancaman siber yang semakin canggih, justeru organisasi perlu mempergiat pemantauan berterusan, mengesan ancaman lebih awal dan mengambil langkah keselamatan secara proaktif.
“Jika penyerang menggunakan AI untuk bertindak lebih pantas dan canggih, kita mesti memastikan pihak yang mempertahankan sistem turut dilengkapi keupayaan untuk mendahului mereka.
“Matlamat kita seharusnya adalah untuk mencegah insiden siber sedaya mungkin, bukannya sekadar bertindak selepas kerosakan berlaku,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian LGMS AI Cybersecurity Summit 2026 yang bertemakan When Attackers Use AI, Cyber Defence Must Evolve, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, LGMS Berhad memperkenalkan lima penyelesaian keselamatan siber buatan Malaysia yang memfokuskan keselamatan aplikasi AI, kelemahan perisian, pendedahan maklumat kelayakan akses, permukaan serangan digital dan pencerobohan siber.
Datuk Chang Lih Kang berkata, aspirasi Buatan Malaysia (Made by Malaysia) penting bagi membolehkan negara beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta dan pemilik inovasi serta harta intelek.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan teknologi serta kepakaran keselamatan siber bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030. – BERNAMA