Konvoi motosikal platform promosi pelancongan domestik – KSU MOTAC

Datuk Shaharuddin Abu Sohot menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi RMC Northquest Perlis 2026 di Putrajaya, hari ini/Foto MOTAC

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Konvoi motosikal berkuasa tinggi berpotensi menjadi platform berkesan untuk mempromosikan pelancongan domestik, selain merancakkan ekonomi komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konvoi motosikal berkuasa tinggi sebagai platform efektif mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan ekonomi komuniti setempat.
  • Program permotoran membuka peluang peserta meneroka alam, mengenali budaya tempatan dan menyokong pengusaha makanan, penginapan serta perusahaan kecil.
  • Keselamatan jalan raya keutamaan, peserta diminta patuh undang-undang, memastikan motosikal selamat dan berkongsi pengalaman sebagai duta pelancongan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, aktiviti permotoran bukan sekadar perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain, malah membuka peluang kepada peserta meneroka keindahan alam semula jadi, mengenali budaya tempatan dan menikmati kepelbagaian produk pelancongan negara.

Menurut beliau, program seumpama itu turut memberi manfaat kepada pengusaha tempatan, termasuk sektor makanan, penginapan dan perusahaan kecil, menerusi perbelanjaan peserta sepanjang perjalanan.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi RMC Northquest Perlis 2026 di sini, hari ini.

Program itu disertai kira-kira 60 peserta dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, sekali gus menghimpunkan komuniti permotoran dari beberapa negeri bagi menjayakan aktiviti berkenaan.

Kelab RMC yang ditubuhkan pada 2019 menjadi antara platform bagi menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi menerusi aktiviti konvoi dan pengembaraan bermotosikal.

Penganjuran Northquest Perlis 2026 turut dirancang untuk dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh promosi destinasi pelancongan negara serta menggalakkan lebih banyak penglibatan komuniti permotoran dalam sektor pelancongan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan jalan raya perlu sentiasa menjadi keutamaan, termasuk mematuhi undang-undang, memastikan motosikal berada dalam keadaan baik serta menghormati pengguna jalan raya lain.

“Peserta turut disaran memainkan peranan sebagai duta pelancongan dengan berkongsi pengalaman perjalanan dan keunikan destinasi yang dikunjungi bagi menarik lebih ramai pelancong meneroka keindahan Malaysia,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.