Vaksin influenza disaran setiap tahun, lindungi kanak-kanak daripada komplikasi – Pakar

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Pengambilan vaksin influenza setiap tahun disarankan bagi mengurangkan risiko jangkitan serta komplikasi serius, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vaksin COVID-19 tidak melindungi terhadap influenza; vaksin influenza diperlukan untuk perlindungan khusus.
  • Vaksin influenza tidak 100% berkesan tetapi mengurangkan keterukan gejala dan risiko komplikasi seperti jangkitan paru-paru atau masalah otak.
  • Kanak-kanak boleh divaksin mulai umur enam bulan; jika gejala muncul, dapatkan pemeriksaan dan saringan dalam 48 jam.

Pakar Pediatrik, Dr Pek Siow Hui berkata, vaksin influenza diperlukan kerana vaksin COVID-19 yang diberikan sebelum ini adalah khusus untuk mencegah jangkitan virus tersebut sahaja dan tidak memberikan perlindungan terhadap influenza.

Menurutnya, meskipun vaksin influenza juga tidak memberikan perlindungan 100 peratus, namun ia mampu mengurangkan keterukan gejala dan risiko komplikasi sekiranya seseorang dijangkiti.

“Vaksin yang digunakan ketika pandemik COVID-19 adalah khusus untuk COVID-19. Jadi, bagi mencegah influenza, kita memerlukan vaksin influenza.

Walaupun seseorang yang telah menerima vaksin influenza masih boleh dijangkiti kerana perlindungannya bukan 100 peratus, gejala biasanya lebih ringan dan risiko mengalami komplikasi seperti jangkitan paru-paru atau masalah otak juga lebih rendah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Dr Pek berkata, kanak-kanak antara golongan yang mudah terdedah kepada influenza, termasuk komplikasi seperti pneumonia.

Katanya, vaksin influenza boleh diberikan seawal usia enam bulan bagi membantu meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan.

Dalam pada itu, beliau berkata amalan gaya hidup sihat turut memainkan peranan dalam menyokong kesihatan dan sistem imun kanak-kanak.

“Pengambilan makanan yang seimbang, minum air yang mencukupi dan mendapatkan rehat secukupnya penting bagi membantu tubuh kekal sihat dan melawan jangkitan,” katanya.

Dr Pek turut menyarankan ibu bapa memastikan kualiti udara di kediaman berada pada tahap baik dan boleh menggunakan pelembap udara atau humidifier jika bersesuaian.

Sekiranya anak mula menunjukkan gejala influenza, ibu bapa dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan dan menjalani ujian saringan seawal mungkin, khususnya dalam tempoh 48 jam pertama bagi membolehkan jangkitan dikenal pasti dan tindakan rawatan yang bersesuaian diambil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.