MALBATT mula berundur dari Lubnan Januari depan

Foto ATM

KOTA TINGGI, 3 Oktober – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan mula berundur secara berperingkat pada Januari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengunduran adalah susulan mandat UNIFIL yang akan berakhir hujung Disember.
  • Proses pengunduran melalui beberapa penerbangan; aset dan barangan dibawa pulang menggunakan kapal mulai 17 Januari.
  • Malaysia sedia sertai sebarang pasukan baharu hanya jika diputuskan dan berasaskan mandat PBB.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengunduran itu susulan mandat UNIFIL yang akan berakhir pada hujung Disember ini.

Menurut beliau, proses pengunduran anggota akan dilaksanakan menerusi beberapa penerbangan, manakala aset dan barangan pasukan akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula 17 Januari depan.

“Saya gembira melihat peranan yang dimainkan MALBATT di Lubnan sepanjang 20 tahun penglibatan tentera Malaysia di sana, dengan 13 tahun daripadanya melalui penugasan satu batalion. Selain membantu memastikan keamanan, anggota tentera kita juga menyantuni masyarakat Lubnan di kawasan pengawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut bersedia menyertai sebarang pasukan baharu sekiranya diputuskan PBB, namun penglibatan itu mestilah berasaskan mandat badan dunia berkenaan.

“Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, perkara itu turut disentuh dalam lawatan kerja beliau ke Lubnan baru-baru ini, termasuk menerusi perbincangan bersama dengan rakan sejawatnya yang memaklumkan situasi keselamatan di negara berkenaan masih bergolak dan terdedah kepada pelbagai ancaman.

Ketika ini, katanya, persidangan PBB sedang berlangsung dan sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman itu turut menyuarakan pandangan agar penamatan misi tersebut dikaji semula.

Malaysia terlibat dalam misi UNIFIL di Lubnan sejak 2007 sebelum meningkatkan kehadiran kepada satu batalion pada 2013.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.