Penguatkuasaan PATI turut sasar majikan, KDN tekad noktahkan krisis

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak lagi hanya tertumpu kepada individu terbabit, sebaliknya turut menyasarkan majikan yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada keberadaan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDN dan JIM menjalankan operasi penguatkuasaan setiap hari, bukan tindakan bermusim.
  • Semua ketibaan dan pekerjaan mesti melalui saluran undang-undang yang sah.
  • Tindakan tegas terhadap pencerobohan, pemalsuan dokumen dan tinggal lebih masa akan diambil.
  • Majikan diberi amaran tidak menggaji atau melindungi PATI; orang ramai diminta bekerjasama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan itu penting bagi memutuskan rantaian penyalahgunaan sistem imigresen, selain menangani isu PATI secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan meneruskan operasi penguatkuasaan setiap hari dan tidak menjadikannya sebagai tindakan bermusim atau hanya apabila isu berkenaan mendapat perhatian umum.

“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda (warga asing) untuk bekerja atau melawat, tetapi semuanya wajib dilakukan menerusi saluran undang-undang yang sah.

Sebarang pencerobohan, pemalsuan dokumen atau tinggal lebih masa akan diburu dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi.,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.

Berdasarkan statistik operasi JIM bagi tempoh 1 Januari hingga 29 September 2026, sebanyak 10,374 operasi dilaksanakan di seluruh negara membabitkan pemeriksaan terhadap 137,603 individu.

Daripada jumlah itu, 37,313 PATI ditangkap, manakala 1,809 majikan turut ditahan, dengan 1,692 daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Datuk Seri Saifuddin berkata, ketegasan penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen KDN dan JIM untuk memutuskan rantaian salah guna sistem imigresen serta menoktahkan isu PATI yang sekian lama membelenggu negara.

Pada masa sama, majikan diberi amaran supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi mendapatkan keuntungan, manakala orang ramai diseru membantu pihak berkuasa menangani isu berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.