Pusat data buka peluang kerjaya digital generasi muda

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada majlis pembukaan Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026./ PFAA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Pembangunan ekosistem pusat data negara dijangka membuka lebih banyak peluang kerjaya dan perniagaan dalam bidang digital kepada generasi muda Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus bukan hanya jadi negara hos pusat data tetapi membangunkan bakat dan tenaga kerja tempatan untuk sokong ekonomi digital
  • Manfaatkan infrastruktur pusat data untuk membina kepakaran tempatan dalam perisian, aplikasi AI, keselamatan siber dan perkhidmatan awan
  • Pembangunan bakat mesti seiring pertumbuhan infrastruktur supaya generasi akan datang mampu cipta teknologi, perniagaan dan memberi nilai ekonomi lebih besar

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tumpuan utama bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai lokasi hos pusat data, sebaliknya membangunkan bakat dan tenaga kerja tempatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Menurutnya, Malaysia perlu memanfaatkan pembangunan infrastruktur pusat data untuk membina kepakaran tempatan dalam bidang bernilai tinggi seperti perisian, aplikasi kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, perkhidmatan awan serta pelbagai penyelesaian digital lain.

“Kita mahu Malaysia membangunkan perisian, aplikasi AI, keselamatan siber, perkhidmatan awan serta penyelesaian digital lain yang berasaskan infrastruktur ini.

“Sekadar menjadi negara hos pusat data tidak mencukupi untuk membolehkan kita memperoleh nilai ekonomi sepenuhnya daripada pembangunan tersebut,” katanya dalam ucapan pembukaan Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan pusat data perlu dimanfaatkan untuk membina kepakaran tempatan dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi, selari dengan perkembangan ekonomi digital.

“Pembangunan bakat tempatan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan infrastruktur digital bagi memastikan generasi akan datang bukan sahaja mengisi peluang pekerjaan, malah mampu membangunkan teknologi dan perniagaan sendiri,” katanya.

Tambahnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan pelaburan dalam sektor pusat data memberi nilai ekonomi yang lebih besar kepada negara, bukan sekadar menyediakan lokasi dan infrastruktur kepada pelabur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.