
BEIJING, 4 Oktober – Pilihan kedua, Aryna Sabalenka tersingkir pada pusingan ketiga Terbuka China selepas tewas straight set kepada pemain Czech, Nikola Bartunkova, di sini pada Ahad.
- Nikola Bartunkova, 20, ranking 34, menewaskan bekas pemain nombor satu dunia 6-4, 6-3 dalam 1 jam 35 minit.
- Bartunkova akan berdepan Sinja Kraus pada pusingan 16 terbaik.
- Daniil Medvedev mara ke separuh akhir selepas menewaskan Francisco Cerundolo 7-6(7-4), 6-3, menanti pemenang Zverev versus Djokovic.
Bartunkova, 20, yang menghuni ranking ke-34 dunia, menewaskan bekas pemain nombor satu dunia itu 6-4, 6-3 dalam tempoh satu jam 35 minit.
“Saya fokus kepada diri sendiri dan cuba bertenang.
“Dia seorang legenda… jadi saya sangat gembira dapat memenangi perlawanan ini,” kata Bartunkova yang melakukan empat ace dalam perlawanan itu.
Bartunkova seterusnya akan berdepan pemain Austria, Sinja Kraus pada pusingan 16 terbaik.
Sabalenka, 28, mensia-siakan lima peluang untuk mematahkan servis Bartunkova pada permainan keenam set pertama, dengan pemain Czech itu tampil kukuh bertahan selain melakukan pukulan jauh yang menyukarkan lawannya.
Sabalenka yang berdepan perubahan antara kawasan teduh dan panas ketika perlawanan berlangsung turut memakai topi pada permainan kelapan set pertama, namun gagal mengubah rentak permainan.
Kekecewaan pemain Belarus itu memuncak apabila dia mencampakkan raket selepas ketinggalan satu break pada permainan keempat set kedua.
Bartunkova kemudian menamatkan perlawanan menerusi mata perlawanan pertama selepas pukulan balas Sabalenka tersangkut di jaring.
Pilihan utama, Elena Rybakina yang mengambil alih kedudukan nombor satu dunia daripada Sabalenka beberapa minggu lalu, turut tersingkir selepas kalah kepada Alina Charaeva pada pusingan kedua, Sabtu.
Dalam aksi lain, juara Terbuka Perancis, Mirra Andreeva dari Rusia menempah pertemuan pusingan keempat dengan pemain Ukraine, Daria Snigur, manakala juara Wimbledon, Linda Noskova mara selepas menewaskan Viktorija Golubic 6-2, 6-1.
Noskova selepas ini akan berdepan pemain Rusia yang menghuni ranking ke-28 dunia, Ekaterina Alexandrova.
Medvedev mara ke separuh akhir
Dalam saingan lelaki, bekas pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev mara ke separuh akhir selepas menewaskan Francisco Cerundolo 7-6 (7-4), 6-3.
Medvedev akan berdepan pemenang antara Alexander Zverev dan Novak Djokovic yang akan bertemu pada aksi suku akhir hari ini.
Pemain Poland, Hubert Hurkacz turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Karen Khachanov dan akan berdepan pemain Australia, Alex de Minaur.
De Minaur pula bangkit daripada kehilangan set pertama untuk menewaskan Andrey Rublev 1-6, 6-2, 6-3.
Pilihan utama, Zverev dijadual berdepan Djokovic pada aksi suku akhir, Ahad.
Pemain Serbia berusia 39 tahun itu hadir dengan rekod tanpa kalah yang luar biasa di Beijing, namun Zverev, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, turut memburu kedudukan nombor satu dunia. – AFP