
KAHERAH, 30 Oktober – Mesir melancarkan konvoi bantuan kemanusiaan membabitkan 62 trak yang membawa 780 tan bekalan ke Semenanjung Gaza ketika musim sejuk mula melanda wilayah Palestin yang terjejas akibat perang.
- Bekalan termasuk tepung dan pakaian untuk menyokong pengeluaran roti serta pakaian musim sejuk untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
- Dana Tahya Misr, ditubuhkan 2014, bertujuan menyokong ekonomi, menangani cabaran sosial dan melaksanakan inisiatif pembangunan mampan.
- Bulan Sabit Merah Mesir memperluas bantuan melalui "Sanabel Al-Ataa", menyalurkan lebih 1,620 tan tepung dan bakul makanan untuk atasi kekurangan roti.
- Konvoi "Zad Al-Izzah" membawa lebih 3,380 tan bekalan, termasuk ubat, bahan api, 1,328 khemah dan 3,200 selimut.
Seorang pegawai Dana Tahya Misr memaklumkan, bekalan itu merangkumi tepung dan pakaian.
“Kami menyediakan tepung bagi menyokong pengeluaran roti untuk keperluan harian mereka.
“Selain itu, kami turut menyediakan pakaian musim sejuk untuk kanak-kanak dan orang dewasa,” kata pegawai berkenaan.
Dana Tahya Misr ialah dana kebajikan dan pembangunan nasional Mesir yang ditubuhkan pada Julai 2014 oleh Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Dana berkenaan bertujuan menyokong ekonomi negara, menangani cabaran sosial serta melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan mampan.
Pada 28 Oktober lalu, media tempatan melaporkan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) terus memperluas penghantaran bantuan ke Gaza.
Menerusi kempen “Sanabel Al-Ataa”, ERC telah menyalurkan lebih 1,620 tan tepung dan bakul makanan bagi menangani kekurangan roti serta gangguan operasi kedai roti.
Pada masa sama, konvoi “Zad Al-Izzah: From Egypt to Gaza” membawa lebih 3,380 tan bekalan termasuk ubat-ubatan, bahan api dan barangan bantuan untuk menyokong operasi hospital, kedai roti serta kemudahan penting lain.
Konvoi berkenaan turut membawa lebih 1,328 khemah dan 3,200 selimut bagi memenuhi keperluan tempat perlindungan penduduk. – AFP