Korban nahas kereta api Sepanyol meningkat kepada 69

Foto AFP

TOLEDO, 30 Oktober – Angka korban nahas kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol meningkat kepada 69 orang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas Menteri Buruh Fatima Banez disahkan terkorban.
  • Tren Renfe merempuh bahagian belakang tren Iryo yang tidak bergerak di laluan Madrid-Seville berhampiran Urda.
  • Sistem kawalan automatik terputus, pusat kawalan membenarkan trafik disambung semula sebelum perlanggaran.
  • Sepanyol isytihar tiga hari berkabung; Raja dan Perdana Menteri menggesa siasatan serta pengukuhan langkah keselamatan.

Antara mangsa yang disahkan terkorban ialah bekas Menteri Buruh Sepanyol, Fatima Banez daripada Parti Rakyat (PP).

Sepanyol memulakan tempoh tiga hari berkabung kebangsaan, dengan bendera dikibarkan separuh tiang manakala beberapa majlis rasmi dan acara awam dibatalkan atau dikecilkan.

Nahas pada Rabu lalu melibatkan sebuah tren milik syarikat kereta api kerajaan, Renfe yang merempuh bahagian belakang sebuah tren milik syarikat swasta, Iryo yang tidak bergerak.

Kejadian berlaku di laluan utama Madrid-Seville berhampiran Urda, kira-kira 130 kilometer di selatan Madrid.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente berkata, sistem kawalan automatik terputus di sepanjang 69 kilometer landasan sehingga menyebabkan semua kereta api di laluan itu dihentikan.

Menurut beliau, pusat kawalan kemudian membenarkan trafik disambung semula meskipun sistem kawalan automatik mengalami gangguan, sebelum tren Renfe bergerak kira-kira 25 kilometer dan merempuh tren Iryo.

Puente menyatakan, keputusan pusat kawalan memberi kebenaran tersebut sukar dijelaskan.

Perlanggaran itu dipercayai berlaku pada kelajuan yang mungkin mencecah 200 kilometer sejam.

Sementara itu, Raja Felipe VI menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan susulan bagi mencegah tragedi sama berulang.

“Siasatan ini mesti menentukan bagaimana dan mengapa bencana ini berlaku.

“Kita perlu meneliti langkah yang perlu diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” kata Baginda selepas melawat mangsa yang cedera di sebuah hospital, di sini.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez pula berikrar kerajaan akan meneliti setiap aspek tragedi itu serta memperkukuh langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tragedi terbaharu yang turut mencederakan puluhan individu itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi negara berkenaan.

Ketika ini, usaha mencari dan menyelamat mangsa di lokasi nahas masih giat dijalankan.

Selain anggota penyelamat, usaha berkenaan turut dibantu anjing pengesan dan dron termal.

Nahas berkenaan merupakan insiden kedua membabitkan kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol tahun ini selepas kejadian pada Januari lalu mengorbankan 46 orang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.