
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Permintaan terhadap industri besi dan keluli di Malaysia dijangka berkembang sederhana pada tahun hadapan, dipengaruhi ketidakseimbangan penawaran dan permintaan serantau serta dasar tarif perdagangan antarabangsa.
- Lebihan kapasiti serantau dan persaingan produk import harga kompetitif memberi tekanan ke atas harga dan daya saing pengeluar tempatan.
- Ketidakpadanan pengeluaran: negara hasilkan banyak keluli panjang tetapi kekurangan keluli rata berkualiti tinggi menyebabkan kebergantungan import.
- Kerajaan disaran memperkukuh sokongan melalui kemudahan pembiayaan, kerjasama perbankan dan insentif cukai untuk sokong pelaburan dan peningkatan kapasiti.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, lebihan kapasiti pengeluaran di peringkat serantau dan persaingan daripada produk import pada harga kompetitif terus memberi tekanan kepada pengeluar tempatan, khususnya dari segi harga dan daya saing eksport.
“Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah ketidakpadanan produk yang masih berlaku di Malaysia. Kita mampu menghasilkan produk keluli panjang dalam jumlah besar untuk sektor pembinaan, tetapi pengeluaran produk keluli rata berkualiti tinggi masih tidak mencukupi.
Permintaan terhadap produk berkenaan masih tinggi, namun kita tidak dapat memenuhinya sepenuhnya dan terpaksa bergantung kepada import. Ini khususnya melibatkan produk dari negara jiran yang mempunyai kapasiti pengeluaran berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Laporan ke-16 Status dan Prospek Industri Besi dan Keluli Malaysia 2027, yang berlangsung baru-baru ini.
Tambah beliau, keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif sehingga 50 peratus terhadap import keluli dari Kanada berpotensi menambah ketidaktentuan perdagangan global, sekali gus memberi kesan kepada prospek eksport industri keluli.
“Bagaimanapun, dalam jangka sederhana, permintaan masih berpotensi disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), pembangunan pusat data, industri berteknologi tinggi, sektor semikonduktor dan industri automotif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan disaran memperkukuh sokongan kepada industri menerusi kemudahan pembiayaan dan kerjasama dengan institusi perbankan, selain menyediakan insentif cukai yang bersesuaian bagi menyokong pelaburan serta peningkatan keupayaan pengeluaran.