
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) mencatatkan peningkatan pendapatan amanah bersih sebanyak 5.1 peratus kepada RM54.8 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
- Peningkatan hasil disumbang oleh pengambilalihan hartanah baharu, penyewa baharu dan kenaikan kadar sewa portfolio sedia ada.
- Pendapatan amanah bersih sembilan bulan meningkat 3.7 peratus kepada RM154.3 juta.
- Melengkapkan pengambilalihan dua hartanah, menjadikan jumlah portfolio kepada 72 hartanah.
- Mencadangkan agihan interim ketiga 2.35 sen seunit dan mensasarkan pengambilalihan bernilai RM250 juta.
Peningkatan itu disumbangkan pendapatan lebih tinggi daripada pengambilalihan hartanah baharu, penyewa baharu serta kenaikan kadar sewa bagi portfolio hartanah sedia ada.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pendapatan amanah bersih sebelum cukai turut meningkat 3.7 peratus kepada RM154.3 juta.
Dalam tempoh itu, Axis-REIT melengkapkan pengambilalihan dua hartanah, menjadikan jumlah keseluruhan portfolionya meningkat kepada 72 hartanah.
Selain itu, syarikat berkenaan memeterai dua perjanjian pengambilalihan hartanah perindustrian di Kedah dan Selangor dengan nilai keseluruhan RM174 juta.
Sementara itu, Axis-REIT mencadangkan pengagihan pendapatan interim ketiga sebanyak 2.35 sen seunit bagi tempoh Julai hingga September 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, pihaknya akan terus meneroka peluang pengambilalihan hartanah berkualiti dengan sasaran bernilai RM250 juta.
Katanya, usaha itu akan dilaksanakan seiring langkah memperkukuh prestasi portfolio hartanah sedia ada.