Lennart Jasch lakar sejarah peribadi, juara keseluruhan LTdL 2026

Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menamatkan saingan lapan peringkat dari Muar ke Putrajaya dengan catatan masa keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat./ BERNAMA


PUTRAJAYA, 4 Oktober – Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch melakar sejarah peribadi selepas muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, sekali gus meraih gelaran klasifikasi keseluruhan (GC) profesional pertama dalam kariernya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan itu merupakan GC profesional pertama dan kemenangan pertama di luar Itali serta Eropah, bermakna dan akan dikenang.
  • Tudor Pro Cycling Team menguasai dua daripada tiga kedudukan teratas, dengan Jan Castellon melengkapkan podium keseluruhan.
  • Kemenangan peringkat kedua menjadi titik perubahan; Jasch pertahankan jersi pendahulu sehingga tamat perlumbaan.

Pelumba Jerman berusia 26 tahun itu menamatkan saingan lapan peringkat dari Muar ke Putrajaya dengan catatan masa keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat, meninggalkan Abel Balderstone dari Caja Rural-Seguros RGA di tempat kedua, 26 saat di belakangnya.

Rakan sepasukannya, Jan Castellon melengkapkan podium keseluruhan di tempat ketiga, 42 saat di belakang Jasch, sekali gus menyaksikan Tudor Pro Cycling Team menguasai dua daripada tiga kedudukan teratas.

“Ini amat bermakna buat saya kerana ini GC profesional pertama yang saya menangi. Ia juga kemenangan pertama saya di luar Itali dan Eropah, jadi ia sesuatu yang sangat istimewa dan akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui media selepas tamat saingan peringkat kelapan di sini, hari ini.

Jasch berkata pasukannya hadir dengan sasaran tinggi, namun pada awalnya hanya menyasarkan beliau menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik.

“Selepas kemenangan di peringkat kedua, kami mula menyedari bahawa saya mempunyai peluang untuk mencabar kejuaraan. Prestasi pada peringkat-peringkat seterusnya juga menunjukkan saya berada dalam keadaan yang baik untuk mempertahankan jersi pendahulu,” katanya.

Kemenangan pada peringkat kedua menjadi titik perubahan apabila Jasch mula menyedari peluangnya untuk mencabar kejuaraan keseluruhan, sebelum berjaya mempertahankan jersi pendahulu sehingga perlumbaan berakhir.

Menurutnya, kejayaan di LTdL 2026 turut membuktikan keupayaannya untuk bersaing sebagai pelumba GC, sekali gus membuka ruang untuk beliau terus mengembangkan potensi dalam klasifikasi berkenaan.

Jasch berkata pencapaian itu merupakan langkah penting dalam perkembangan kariernya, apabila sebelum ini lebih banyak berusaha membuktikan kemampuan untuk bersaing dalam perlumbaan klasifikasi keseluruhan.

Sementara itu, Matteo Marucelli dari XDS Astana Team muncul pemenang peringkat kelapan, diikuti Pickrell Riley dari Modern Adventure di tempat kedua dan Christians Van Rees dari Team Picnic Post NL di tempat ketiga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.