Penggiat seni kreatif sambut baik Belanjawan 2027

(Dari kiri) Presiden FINAS, Datuk Hans Isaac; Pengarah Filem, Datuk Yusof Haslam dan pelakon, Amerul Affendi

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Penggiat industri seni kreatif tempatan menyambut baik inisiatif Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027, khususnya usaha membantu perkembangan industri filem dan memperluas pasaran karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • FINAS menyasarkan empat hingga lima judul untuk dibawa ke pasaran antarabangsa tahun depan.
  • Inisiatif duti hiburan disambut baik sebagai sokongan di luar jangka kepada penggiat industri.
  • Penggiat berharap dana digunakan dengan baik dan disalurkan kepada pihak tepat untuk merancakkan pengeluaran filem berkualiti.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata, pihaknya menghargai komitmen Perdana Menteri dalam mengiktiraf kepentingan industri kreatif serta menyokong usaha membawa kandungan tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana melihat industri ini sebagai sesuatu yang sangat penting. Hasrat beliau adalah untuk melihat kandungan negara kita dibawa ke luar negara.

“FINAS akan menyahut cabaran itu dengan menyasarkan sekurang-kurangnya empat atau lima judul untuk dibawa ke pasaran antarabangsa pada tahun depan,” katanya.

Datuk Hans turut menyambut baik inisiatif berkaitan duti hiburan yang disifatkannya sebagai sokongan di luar jangkaan kepada penggiat industri.

Penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, turut menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai usaha yang dapat membantu perkembangan industri filem tempatan.

“Usaha yang kerajaan lakukan ini banyak membantu filem tempatan. Untuk membawa filem ke peringkat antarabangsa, kita perlu melakukannya secara berperingkat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi industri perfileman.

Pelakon, Amerul Affendi pula berharap dana yang disediakan dapat dimanfaatkan dengan baik dan disalurkan kepada pihak yang tepat.

“Satu pengumuman yang baik untuk industri seni kita. Saya berharap dana itu akan digunakan dengan baik dan diberikan kepada pihak yang tepat, sekali gus merancakkan industri kita.

“Duti hiburan juga satu perkara yang sangat baik kerana dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada pengkarya untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti pada masa hadapan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.