Lima calon terbaik bagi 25 kategori FFM35 diumum

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada majlis pengumuman lima calon terbaik bagi 25 kategori dipertandingkan pada FMM35 / Foto Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Sebanyak 73 karya bersaing dalam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bertemakan ‘Spektrum Sinema’ menerusi 25 kategori dipertandingkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima calon terbaik bagi setiap kategori diumumkan pada majlis dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Damansara.
  • Kementerian Komunikasi peruntuk RM1 juta melalui Dana Kandungan Kreatif untuk Filem Terbaik; pemenang kategori menerima RM5,000 dan trofi.
  • Semua karya bertanding akan ditayangkan di pawagam 16 hingga 20 November 2026; kemuncak FFM35 dijadualkan 21 November di Istana Budaya.

Lima calon terbaik bagi setiap kategori diumumkan menerusi satu majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di Damansara di sini pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac.

FINAS menerusi kenyataan memaklumkan, pengumuman lima calon terbaik itu ketika enam filem tempatan melepasi kutipan RM10 juta pada tahun ini.

“Pencapaian ini sebagai dorongan untuk terus membangunkan karya berbeza, mengukuhkan aspek pengedaran serta membuka lebih banyak ruang kepada bakat di hadapan dan belakang kamera,” kata FINAS.

Persaingan 73 karya merangkumi 39 filem cereka, 17 dokumentari dan 17 filem pendek.

Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif kepada pemenang Filem Terbaik, sebagai kesinambungan sokongan FFM34.

Pemenang 28 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Manakala, pemenang Anugerah Khas Karyawan dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman bakal menerima RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, FFM35 turut meraikan tokoh terdahulu melalui program ‘Tribute: Penghargaan kepada Tokoh Perfileman Veteran Negara’ di Studio Sound Stage FINAS, Hulu Kelang.

“Tayangan ‘Tuan Badul’ akan meraikan A.R Badul dan Norlia Gani pada 4 November 2026.

“Manakala, tayangan ‘Bayangan Maut’ sebagai penghormatan kepada Datuk Yusof Haslam dan Noor Kumalasari pada 5 November 2026,” ujarnya.

Selain itu, semua karya yang bertanding pada FFM kali ini akan ditayangkan di pawagam bermula 16 hingga 20 November 2026.

Kemuncak FFM35 dijadual berlangsung pada 21 November 2026 di Istana Budaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.