GP Bahrain: Verstappen raih kemenangan pertama musim ini

Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen sekali lagi menakluki Litar Antarabangsa Sepang apabila muncul juara Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix, selepas hampir sedekad kemenangan terakhirnya di litar sama pada Grand Prix Malaysia 2017./ AFP

SEPANG, 4 Oktober – Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen meraih kemenangan pertamanya musim ini selepas menjuarai Grand Prix Bahrain yang berlangsung dalam keadaan mencabar di Litar Antarabangsa Sepang, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Max Verstappen meraih kemenangan pertama musim ini pada Grand Prix Bahrain.
  • Perlumbaan bermula pada percubaan kedua selepas kira-kira satu jam 40 minit kelewatan akibat hujan lebat.
  • George Russell terpaksa menarik diri lima pusingan sebelum tamat kerana dipercayai kegagalan unit kuasa dan Lewis Hamilton bangkit ke tempat ketiga.

Kemenangan itu cukup istimewa buat juara dunia empat kali berkenaan apabila kembali menakluki Sepang, litar yang menyaksikan kemenangan terakhirnya
pada Grand Prix Malaysia 2017, perlumbaan F1 terakhir yang berlangsung di Malaysia sebelum ini.

Perlumbaan yang penuh dramatik itu hanya bermula pada percubaan kedua, lewat kira-kira satu jam 40 minit berikutan hujan lebat.

Verstappen yang bermula dari petak pertama mengambil alih pendahuluan selepas kereta keselamatan dikeluarkan pada awal perlumbaan, sebelum menamatkan saingan di hadapan pelumba Mercedes, Kimi Antonelli, yang juga pendahulu kejuaraan dunia.

Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton melengkapkan podium di tempat ketiga.

Namun, Mercedes terpaksa berdepan kekecewaan apabila George Russell yang ketika itu berada di tempat ketiga terpaksa menamatkan perlumbaan lima pusingan sebelum tamat, dipercayai akibat kegagalan unit kuasa ketika perlumbaan berada di bawah kawalan kereta keselamatan.

Perlumbaan akhirnya dimulakan secara standing start, dengan juara dunia empat kali, Verstappen bermula dari petak pertama buat kali pertama musim ini selepas mendominasi sesi latihan dan kelayakan.

Bagaimanapun, pelumba Belanda itu mengalami permulaan perlahan menggunakan tayar intermediate, sekali gus membolehkan pasangan Mercedes, Antonelli dan Russell memintasnya dalam keadaan litar masih basah.

Situasi berubah pada pusingan kesembilan apabila Valtteri Bottas terbabas ke kawasan batu kelikir, menyebabkan kereta keselamatan dikeluarkan.

Kebanyakan pelumba mengambil kesempatan untuk masuk ke pit dan menukar kepada tayar slick ketika permukaan litar semakin kering.

Verstappen kemudian kembali mengambil pendahuluan selepas kereta keselamatan beredar dan tidak lagi melepaskannya, sebelum membuka jurang selesa daripada pencabar terdekat.

Hamilton yang bermula di barisan hadapan dengan tayar kering pada awalnya merosot jauh dalam kelompok akibat keadaan litar basah.

Namun, pengalaman juara dunia tujuh kali itu membolehkannya bangkit semula dan memintas beberapa pelumba untuk meraih tempat ketiga serta podium.

Rakan sepasukannya, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala pelumba Red Bull, Isack Hadjar di tempat kelima.

Grand Prix Bahrain tahun ini berlangsung di Malaysia susulan gangguan di rantau Teluk berkaitan perang yang diketuai Amerika Syarikat terhadap Iran.

Formula 1 selepas ini bergerak ke Singapura untuk perlumbaan malam dan perlumbaan pecut hujung minggu depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.