
PUTRAJAYA, 4 Oktober – Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dijangka menerima penarafan ‘all green’ daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), selepas komisar badan berkenaan memuji keseluruhan penganjuran edisi ke-30 perlumbaan berprestij itu.
- Komisar UCI Paul Watson memuji aspek teknikal dan pengurusan LTdL sebagai luar biasa.
- Emir berkata perlumbaan mematuhi sepenuhnya peraturan UCI.
- Tiga pelumba Malaysia berada dalam kelompok empat terbaik Asia, menunjukkan perkembangan pelumba pendaki negara.
- LTdL 2026 disiarkan oleh 22 penyiar antarabangsa; edisi ke-31 fokus tambah pembiayaan dan tarik pasukan World Tour.
Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata komisar UCI, Paul Watson, turut memberikan penilaian positif terhadap aspek teknikal serta pengurusan keseluruhan perlumbaan.
“Beliau mengesahkan perlumbaan ini dianjurkan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan UCI dan dijangka sekali lagi menerima penarafan ‘all green’.
“Beliau juga melihat keseluruhan penganjuran sebagai sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Emir menyifatkan prestasi pelumba Malaysia dalam laluan pendakian sebagai perkembangan positif selepas tiga pelumba negara menduduki kelompok empat terbaik Asia.
“Kita dapat lihat pelumba-pelumba terbaik Asia berada di kedudukan kedua, ketiga dan keempat. Ini bukan keputusan yang kita lihat setiap tahun dan ia membuktikan Malaysia sudah mempunyai pelumba pendaki yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan Malaysia kini mempunyai pelumba yang boleh dipertaruhkan dalam perlumbaan berprofil tinggi yang menampilkan laluan pendakian.
Dari aspek penyiaran pula, LTdL 2026 berjaya menarik 22 penyiar antarabangsa termasuk dari China, India, Indonesia, Eropah serta Amerika Utara dan Selatan.
Bagi edisi ke-31, Emir berkata usaha mendapatkan sumber pembiayaan yang lebih besar akan menjadi keutamaan bagi memperluas promosi perlumbaan serta menarik lebih banyak penyertaan pasukan World Tour.