
SEPANG, 4 Oktober – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei pukul 5.30 petang tadi selepas menamatkan lawatan khas selama sehari bersempena dengan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.
- Pesawat khas membawa baginda dan delegasi termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah berlepas dari KLIA, diiringi Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
- Kembalinya perlumbaan itu ke Malaysia hasil usaha diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Hamad Isa Al-Khalifa.
- Litar Antarabangsa Sepang dipilih sebagai lokasi sementara tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain GP 2026.
- Perjanjian antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa dan kerajaan Malaysia serta Bahrain memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar 2026.
Pesawat khas yang membawa baginda bersama delegasi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), diiringi Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sebelum berlepas, baginda berkenan melalui kawalan kehormatan setempat dibarisi dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Ikhwan Adlan Jamaludin.
SIC dipilih sebagai tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain GP 2026 sekali gus menjadikan litar ikonik itu lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij tersebut.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
Ia susulan persetujuan antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar F1.
Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia merupakan hasil usaha kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa.