
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik.
- Wan Fayhsal dirawat di Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan.
- Beliau tidak sedarkan diri pagi tadi ketika menyiapkan latihan kerja sekolah anak, sedar semula kira-kira pukul 6 petang.
- Wan Fayhsal mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.
Beliau menyampaikan doa itu menerusi ruangan komen pada hantaran Threads Wan Fayhsal yang memaklumkan beliau kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan.
“Salam saudara, saya doakan agar saudara lekas sembuh dan diberikan aafiyah,” menurut ucapan yang ditinggalkan Perdana Menteri di ruangan komen tersebut.
Menerusi hantaran berkenaan, Wan Fayhsal memaklumkan beliau tidak sedarkan diri sejak awal pagi ketika sedang menyiapkan latihan kerja sekolah anak sebelum sedar semula kira-kira pukul 6 petang.
Menerusi hantaran sama, Wan Fayhsal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keadaan kesihatannya.