
SEPANG, 4 Oktober – Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan permotoran, malah turut menjadi platform pertukaran budaya menerusi ‘Bahrain Village’.
- Memaparkan warisan Bahrain: Majlis, seni anyaman Khoose, lukisan henna, pembuatan bubu Gargour dan hasil kraftangan tradisional.
- Memberi peluang pengunjung tempatan dan pelancong berinteraksi langsung dengan penggiat serta mencuba aktiviti kebudayaan.
- Pengunjung puji pengalaman unik: makanan, permainan tradisional, pakaian dan artifak yang menceriakan kunjungan.
- Memupuk pertukaran budaya dan mengukuhkan hubungan Malaysia dan Bahrain melalui interaksi sosial serta perkongsian pengalaman.
Terletak di ruang Fan Zone, Bahrain Village mengetengahkan pelbagai elemen warisan dan tradisi Bahrain termasuk The Bahraini Majlis, seni anyaman daun tamar atau Khoose, lukisan inai serta kemahiran menghasilkan bubu ikan tradisional, Gargour.
Tinjauan wartawan RTM Aisya Yatim mendapati, pengisian berkenaan memberi peluang kepada pengunjung tempatan dan pelancong asing mengenali dengan lebih dekat budaya serta tradisi Bahrain, selain berinteraksi secara langsung dengan penggiat yang memperkenalkan hasil kraftangan tradisional negara itu.
Bagi pengunjung tempatan, pengalaman di Bahrain Village menawarkan kelainan daripada aktiviti biasa di kawasan perlumbaan, selain memberi peluang menyaksikan sendiri keunikan budaya Bahrain.

“Saya rasa macam kita masuk Tioman Village. Tahu tak? Pengalaman dan susun atur yang berbeza, nampak memang mereka telah memberikan banyak usaha. Jadi, saya rasa memang berbaloi datang ke F1 di sini,” kata seorang pengunjung tempatan, Han.
Katanya, pengalaman menyaksikan sendiri aktiviti kebudayaan yang diketengahkan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Pengalaman secara langsung macam ini memang menarik,” katanya.
Malah, pengunjung dari luar negara turut menyifatkan Bahrain Village sebagai pengalaman menarik, khususnya bagi mereka yang pertama kali menghadiri perlumbaan Formula 1 di Malaysia.

Aaysha dari India berkata pengalaman menghadiri perlumbaan F1 buat kali pertama menjadi lebih menarik dengan pelbagai aktiviti kebudayaan yang disediakan di Bahrain Village.
“Ini perlumbaan F1 pertama saya, jadi saya memang sangat teruja. Cuaca hari ini pun sangat baik, walaupun hujan agak lebat,” katanya.
“Kemudian kami dapat merasai pengalaman bermain carrom, mencuba makanan serta melihat semua elemen budaya yang ada. Memang sangat menarik,” katanya.
Selain permainan tradisional dan makanan, pengunjung turut berpeluang mencuba pakaian tradisional serta melihat pelbagai artifak yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya Bahrain.

Bagi Daniel dari Itali, kepelbagaian aktiviti di Bahrain Village memberikan peluang untuk mengenali budaya negara berkenaan dalam suasana santai.
“Saya sangat suka semua makanan di sini, semua permainan yang boleh kami cuba dan pelbagai perkara yang membolehkan kami mengenali budaya Bahrain,” katanya.
“Terutamanya kami boleh mencuba pakaian, melihat artifak dan permainan tradisional. Memang sangat menarik,” katanya.
Dalam pada itu, kehadiran Bahrain Village turut membuka ruang kepada pertukaran budaya apabila pengunjung tempatan dan antarabangsa dapat berinteraksi serta berkongsi pengalaman masing-masing.
Seorang lagi pengunjung tempatan, Maisarah berkata, aktiviti seperti membuat henna memberi pengalaman baharu kepada pengunjung untuk mengenali budaya Bahrain dengan lebih dekat.
“Lagilah… kita boleh kenal budaya mereka. Henna, yang ini saya baru sahaja buat henna,” katanya.
Menurutnya, kepelbagaian pengisian di Bahrain Village termasuk makanan, seni dan hasil kraftangan turut memperlihatkan keunikan budaya Bahrain yang berbeza daripada Malaysia.
“Dengan budaya tradisional mereka, makanan, aiskrim dan hasil seni, semuanya berbeza dengan apa yang ada di Malaysia,” katanya.
Kehadiran Bahrain Village sekali gus menambah dimensi kepada penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026, apabila acara sukan permotoran itu turut menjadi wadah mempertemukan masyarakat daripada pelbagai latar melalui pengalaman budaya.
Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati aksi perlumbaan, tetapi turut membolehkan mereka memahami dan menghargai warisan serta tradisi Bahrain.
Pada masa sama, interaksi antara pengunjung tempatan dan antarabangsa menerusi aktiviti kebudayaan berkenaan turut membuka ruang kepada pertukaran budaya, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Bahrain.