Perancis siasat dakwaan kekerasan polis terhadap pelajar

Sebastien Lecornu/ AFP

PARIS, 8 Oktober – Pasukan keselamatan Perancis tidak menerima arahan untuk ‘menggunakan kekerasan’ dengan pelajar sekolah menengah yang menyertai demonstrasi, kata Perdana Menteri Perancis Sebastien Lecornu pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ratusan pelajar, anggota polis dan kakitangan pendidikan cedera; lebih 6,500 individu, kebanyakannya bawah umur, ditahan sejak protes bermula.
  • Kerajaan menggantung penggunaan bom tangan polis dalam demonstrasi pelajar susulan dakwaan penggunaan kekerasan berlebihan.
  • Perdana Menteri mengakui kemarahan golongan muda berasas dan berjanji pelan menangani krisis akan dibentangkan pada akhir Oktober.
  • Insiden serius termasuk seorang pelajar kehilangan sebelah tangan dan kehilangan gigi; seorang anggota polis didakwa dan 18 siasatan dalaman dibuka.

Perkara itu ketika mengulas berkenaan dakwaan anggota polis menggunakan kekerasan susulan beberapa hari protes yang menggegarkan negara itu.

Ratusan pelajar, anggota polis dan kakitangan pendidikan cedera sejak gerakan menuntut keadaan lebih baik di sekolah menengah bermula, manakala lebih 6,500 individu, kebanyakannya bawah umur, ditahan.

Susulan tuduhan daripada kumpulan hak asasi manusia, kesatuan sekerja dan pelajar bahawa pihak berkuasa menggunakan kekerasan secara berlebihan, kerajaan mengumumkan penggantungan penggunaan bom tangan oleh polis dalam demonstrasi yang diketuai pelajar.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Rabu, Lecornu berkata, negara itu tidak boleh mengabaikan kebimbangan pelajar sekolah menengah, sambil mengakui bahawa “kemarahan golongan muda bukan tercetus tanpa sebab.”

Beliau menafikan pasukan keselamatan menerima “arahan untuk menggunakan kekerasan” terhadap golongan muda dan berjanji kerajaan akan membentangkan pelan bagi menangani krisis itu pada akhir Oktober.

Bagaimanapun, penganjur menggesa demonstrasi baharu diadakan pada Khamis, manakala beberapa kesatuan pendidikan mengumumkan mogok di seluruh negara.

“Kami tahu jika kami berhenti menyuarakan pendirian, gerakan ini akan kehilangan momentum. Kami mahukan tindakan sebenar dan selagi tuntutan itu belum dipenuhi, kami akan terus menggerakkan usaha,” kata seorang pelajar sekolah menengah di Fontainebleau, berhampiran Paris, yang hanya mahu dikenali sebagai Marilou.

Pelajar yang menyertai demonstrasi sebelum ini mengadu mengenai kekurangan guru, jadual pembelajaran yang terlalu padat, bilik darjah yang daif serta bangunan sekolah yang tidak mampu menampung peningkatan suhu.

Mereka turut meminta pertemuan dengan Lecornu dan memaklumkan mempunyai cadangan lengkap berserta anggaran kos untuk dibentangkan.

“Saya mahu menggesa pelajar, sama ada sekolah menengah atau universiti, supaya terus menyuarakan tuntutan mulai esok kerana kedudukan kita lebih kuat,” kata pemimpin kesatuan pelajar, Ryad Rani.

Seorang pelajar berusia 15 tahun kehilangan sebelah tangan pada Isnin selepas polis melepaskan bom tangan jenis bola kejut.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, dalam wawancara dengan stesen radio RTL pada awal Rabu berkata beliau menggantung penggunaan bom tangan oleh polis sebagai susulan kejadian itu.

“Saya menggantung penggunaannya dalam demonstrasi pelajar sekolah menengah sehingga fakta berhubung kejadian itu dapat dikenal pasti,” kata Nunez.

Bagaimanapun menurut Nunez, penggantungan itu hanya terpakai kepada demonstrasi pelajar sekolah menengah dan akan dilaksanakan “sehingga siasatan mengenai apa yang berlaku selesai.”

Minggu lalu, seorang pelajar berusia 14 tahun di barat laut Paris terkena bom gas pemedih mata pada jarak begitu dekat sehingga menyebabkan beberapa batang giginya tercabut.

Seorang anggota polis didakwa pada Selasa berhubung kejadian itu. Polis turut membuka 18 siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku sejak protes berkenaan bermula.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.