Tabung Pos bakal ditubuhkan, dana permulaan RM150 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kerajaan bakal menubuhkan Tabung Pos dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta bagi menyokong kelangsungan perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara, khususnya dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tabung akan diselenggara oleh MCMC dan dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun depan.
  • Peruntukan undang-undang sudah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Pos 2012 namun tidak pernah diwujudkan sebelum ini.
  • Fungsi diperluaskan bukan hanya surat; juga penghantaran barangan e-dagang ke kawasan luar bandar, dengan garis panduan MCMC menyusul.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tabung yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun depan akan diselenggara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelas beliau, peruntukan berkenaan khusus bagi memastikan perkhidmatan penghantaran pos dan bungkusan ke seluruh pelosok negara, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Peruntukan undang-undang bagi Tabung Pos sebenarnya telah termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Pos sejak tahun 2012, namun tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.

“Prinsip pengoperasian Tabung Pos ini adalah serupa dengan Tabung Perkhidmatan Sejagat dalam sektor telekomunikasi.

“Sekiranya sektor telekomunikasi menghantar bits and bytes, sektor pos dan kurier pula menghantar surat serta parcel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2026 di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini.

Hadir sama, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Imri Mokhtar.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi memberitahu pihak MCMC akan memperincikan fungsi serta garis panduan penuh penggunaan dana tersebut tidak lama lagi.

“Cuma saya telah meminta supaya takrif penggunaan tabung ini diperluaskan bukan sekadar perkhidmatan pos surat sahaja.

“Sekiranya ada pembelian barang e-dagang yang perlu dihantar ke kawasan jauh dari bandar, itu juga memenuhi fungsinya.

“Apabila tiba masanya nanti, pihak MCMC akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung fungsi lengkap Tabung Pos ini,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.