Perak tentukan sekolah dibuka Isnin ikut IPU Ahad

Foto RTM

IPOH, 10 Oktober – Pengoperasian sekolah di semua daerah di Perak pada Isnin ini akan ditentukan berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan diumumkan selepas pukul 2 petang Ahad, mengambil kira tahap kualiti udara serta keselamatan dan kesejahteraan murid.
  • Sekolah di daerah yang mencatat bacaan IPU tidak sihat akan ditutup untuk mengelakkan risiko terhadap kesihatan murid.
  • Sekolah yang ditutup akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, keputusan dijangka diumumkan selepas pukul 2 petang Ahad, dengan mengambil kira tahap kualiti udara serta keselamatan dan kesejahteraan murid.

Beliau berkata, sekolah di daerah yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat akan ditutup bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan murid.

“Berdasarkan bacaan pada hari Ahad nanti, kalau ada lagi daerah-daerah yang mencatatkan IPU kurang sihat, sudah pastilah proses untuk penutupan sekolah akan dilaksanakan kerana yang pentingnya kita nak memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak murid kita di daerah-daerah tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, sekolah di tiga daerah iaitu Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar diarahkan tutup selepas bacaan IPU melepasi 180.

Bagi sekolah yang ditutup, proses pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.