
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Atlet sukan ekstrem negara, Abdil Mahdzan, mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua pingat emas dalam acara street luge pada Kejohanan Papan Luncur Dunia 2026 di Asuncion, Paraguay baru-baru ini.
- Catatan masa 1 min 7.611 saat dalam acara ujian masa.
- Menjuarai perlumbaan utama, mengatasi pencabar dari Sepanyol dan Amerika Syarikat.
- Pencapaian itu melakar nama Malaysia dalam arena sukan ekstrem dunia.
- Tiga lagi wakil Malaysia berentap dalam acara street: Momo, Mahathir dan Kieron Brodie.
Abdil meraih emas dalam acara ujian masa dengan catatan 1 minit 7.611 saat, sebelum menjuarai perlumbaan utama dengan menewaskan pencabar dari Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Kejayaan itu membolehkan Abdil muncul juara dunia dalam dua acara street luge pada kejohanan berkenaan.
Pencapaian Abdil bukan sahaja membuktikan keupayaannya bersaing di peringkat antarabangsa, malah turut melakar nama Malaysia dalam arena sukan ekstrem dunia.
Tiga lagi wakil negara akan berentap dalam acara street pada kejohanan dunia sama yang bermula hari ini iaitu Momo, Mahathir dan Kieron Brodie.
Street luge ialah sukan perlumbaan papan luncur ekstrem yang menyaksikan atlet berbaring telentang di atas papan khas sebelum meluncur menuruni jalan atau cerun pada kelajuan tinggi.
Kelajuan pelumba boleh mencecah antara 100 hingga 130 kilometer sejam, sekali gus menuntut kawalan badan dan kemahiran mengendalikan papan yang tinggi.
Papan street luge lazimnya tidak dilengkapi brek mekanikal.
Pelumba menggunakan kaki untuk memperlahankan pergerakan atau berhenti, menjadikan sukan itu berisiko tinggi dan memerlukan kawalan yang baik.