FAM Kemukakan dokumen naturalisasi Shane Lowry kepada FIFA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober -Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah melengkapkan dokumen permohonan naturalisasi pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry, dan mengemukakannya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • FAM kini menunggu keputusan FIFA mengenai kelayakan Lowry untuk mewakili Harimau Malaya.
  • Lowry warga Australia, menyertai JDT sejak 2021 dan telah lengkap lima tahun menetap di Malaysia.
  • Jika diluluskan, Lowry berpotensi menyertai Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo sebagai pemain naturalisasi.
  • Status pemain tempatan di Liga Malaysia tidak secara automatik melayakkan mereka mewakili skuad kebangsaan; kelulusan FIFA diperlukan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya kini menunggu keputusan FIFA berhubung kelayakan pemain berusia 37 tahun itu untuk mewakili Harimau Malaya.

“Dokumen Shane Lowry sudah lengkap dan kita telah hantar kepada FIFA. Sekarang kita tunggu proses kelulusan FIFA dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian antara FAM, Yes dan Ryt Bank, di sini.

Lowry, yang berasal dari Australia, menyertai JDT pada 2021 dan sudah melengkapkan tempoh lima tahun menetap di Malaysia.

Sekiranya mendapat kelulusan FIFA, Lowry berpotensi menyertai Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo yang memperoleh status naturalisasi bulan lalu.

Bagaimanapun, status sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia tidak secara automatik melayakkan seseorang pemain mewakili skuad kebangsaan kerana kelulusan FIFA masih diperlukan berdasarkan peraturan kelayakan antarabangsa.

Antara pemain yang sebelum ini memperoleh status naturalisasi ialah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Romel Morales.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.