PRN Melaka: Calon diingatkan hormati petugas media sepanjang kempen

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto RTM

AYER KEROH, 1 November – Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diminta menghormati petugas media yang menjalankan tugas membuat liputan sepanjang tempoh kempen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporkan sebarang gangguan atau tindakan tidak wajar terhadap petugas media kepada pihak berkuasa termasuk PDRM.
  • Jangan menciplak atau menggunakan kandungan berita pihak lain tanpa kebenaran dan kredit kepada sumber asal.
  • Pengamal media yang berdepan penciplakan perlu melaporkan kepada Majlis Media Malaysia atau MCMC untuk tindakan lanjut.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sebarang gangguan atau tindakan tidak wajar terhadap petugas media perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga ingin mengingatkan semua calon agar sentiasa menghormati dan menghargai peranan pengamal media sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Sekiranya ada rakan-rakan media yang berdepan dengan sebarang situasi yang tidak selesa atau tidak sepatutnya berlaku, saya minta agar segera melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Selain itu, Datuk Seri Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menciplak atau menggunakan kandungan berita media lain tanpa kebenaran dan kredit kepada sumber asal.

Beliau berkata pengamal media yang berdepan isu penciplakan kandungan membuat laporan kepada Majlis Media Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.