RTM, sektor korporat perlu bekerjasama angkat warisan negara ke pentas global

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 November – Kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan sektor korporat perlu diperkukuh bagi mengangkat seni, budaya dan warisan negara ke pentas antarabangsa

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM perlu memanfaatkan platform penyiaran untuk memperkenalkan bakat dan keunikan seni tempatan kepada dunia.
  • Mulakan usaha dengan meningkatkan penghayatan orang ramai terhadap seni dan budaya tempatan sebelum ke pentas antarabangsa.
  • Tekankan penglibatan sektor korporat bagi memperluas usaha memartabatkan seni warisan negara.
  • Kerjasama berskala besar dan sokongan pelbagai platform diperlukan, termasuk kolaborasi CIMB dan RTM untuk program seni.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, RTM berperanan memanfaatkan platform penyiarannya bagi memperkenalkan bakat dan keunikan seni tempatan kepada dunia.

“Dalam konteks penyiaran, peranan yang dimainkan amat penting, khususnya dalam industri kreatif dan kerangka Ekonomi Jingga yang diketengahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama pasukan Kementerian Komunikasi.

“Inilah ruang dan peluang untuk kita memperluas jangkauan program serta aktiviti yang dilaksanakan, bukan sekadar menghasilkan kandungan di platform digital, malah mengangkat jenama tersebut ke peringkat antarabangsa agar lebih dikenali oleh masyarakat luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi bicara mengenai pengglobalan seni dan budaya Malaysia sempena CIMB Artober 2026 di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata usaha itu perlu dimulakan dengan meningkatkan penghayatan orang ramai terhadap seni dan budaya tempatan, serta mengetengahkan bakat penggiat seni seperti di Kapit, Sarawak, dan warisan yang terdapat di daerah Pasir Mas, Kelantan dan Kuala Nerang, Kedah, sebelum ke persada antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan sektor korporat bagi memperluas usaha memartabatkan seni warisan negara.

Ianya diakui Ketua Serantau Acara Korporat, Kumpulan CIMB, Ismail Ani Arope yang menyatakan usaha yang sama mengangkat khazanah seni memerlukan pemikiran berskala besar dan sokongan semua pihak.

“Kita juga memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak serta platform yang pelbagai. RTM merupakan platform yang sangat penting dan berpengaruh,” katanya.

Ismail yang terlibat dalam merangka, mengurus dan menyelaraskan pameran seni CIMB Artober sejak edisi terdahulu berkata, kumpulannya akan mempergiat kerjasama dengan RTM menerusi lebih banyak program memartabatkan seni, budaya serta warisan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.