Peruntukan RM1 juta bukti Kerajaan MADANI prihatin kebajikan penjaja dan peniaga kecil

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd Majid / Foto RTM

KAJANG, 1 November – Peruntukan RM1 juta kepada persatuan, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap golongan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • GPPPKMM bekerjasama erat dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui inisiatif Rakan Strategik untuk tingkatkan pendapatan usahawan.
  • Persatuan mengagihkan bantuan peralatan perniagaan seluruh negara untuk meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan peniaga kecil.
  • Komitmen menambah baik proses permohonan dengan mekanisme penyampaian lebih efisien dan mesra penjaja, termasuk perbincangan platform dalam talian.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd Majid menyambut baik dan menzahirkan penghargaan atas peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, GPPPKMM antara persatuan yang layak menerima manfaat daripada peruntukan berkenaan.

“Kami sentiasa bekerja keras demi rakyat sama ada menerima peruntukan atau sebaliknya.

“Peruntukan ini menunjukkan Perdana Menteri mengiktiraf usaha bersama kami dengan kerajaan. Saya amat berterima kasih atas sumbangan ini dan kami akan terus bergerak aktif bagi memastikan golongan penjaja B40 terus maju,” katanya.

Datuk Zainal ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang, di sini yang disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan GPPPKMM kini bekerjasama erat dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di bawah inisiatif Rakan Strategik.

Kerjasama itu bertujuan merealisasikan saranan Perdana Menteri agar pendapatan golongan usahawan dipertingkatkan.

Menerusi kolaborasi berkenaan, persatuan giat mengagihkan bantuan peralatan perniagaan di seluruh negara yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan yang lebih tinggi buat peniaga.

Dalam pada itu, Datuk Zainal turut menyatakan komitmen untuk menambah baik proses permohonan bantuan bagi memudahkan urusan peniaga kecil.

“Ketiadaan platform permohonan dalam talian untuk usahawan yang baharu bangkit menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan sementara waktu untuk hadir membuat permohonan secara fizikal.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak ICU bagi merangka mekanisme penyampaian yang lebih efisien dan mesra penjaja,”jelasnya.

GPPPKMM turut meletakkan matlamat jangka panjang untuk mengeluarkan penjaja B40 daripada tahap sosioekonomi semasa agar mereka mampu membina perniagaan yang kukuh dan mengubah taraf ekonomi keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.