
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perbankan perlu diperluas bagi memperkasa keupayaan kakitangan, khususnya barisan hadapan, dalam meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
- AI bukan untuk mengurangkan pekerja tetapi untuk menjadikan tugas kakitangan lebih cekap dan fokus pada pelanggan.
- Penggunaan AI di Malaysia masih awal, setakat beberapa aplikasi dan projek perintis; banyak ruang untuk pengembangan merentasi fungsi bank.
- Perlu pertimbangkan kawal selia dan risiko teknologi apabila meluaskan automasi dokumentasi, perbankan suara dan sokongan kakitangan.
Naib Presiden Kanan Twimbit, Shivanu Shukla berkata, penerapan teknologi itu bukan bertujuan mengurangkan jumlah tenaga kerja, sebaliknya membantu kakitangan melaksanakan tugasan dengan lebih cekap dan memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan.
Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara yang menerajui perkembangan teknologi perbankan di ASEAN, namun penggunaan AI masih belum dilaksanakan secara menyeluruh merentasi pelbagai fungsi dan operasi institusi perbankan.
Katanya, penyediaan alat AI yang bersesuaian kepada kakitangan barisan hadapan mampu meningkatkan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas harian, sekali gus memperkukuh pengalaman pelanggan.
“Jika kakitangan barisan hadapan dilengkapi dengan alat AI yang bersesuaian, produktiviti mereka dapat ditingkatkan. Automasi bukan bermaksud mengurangkan jumlah pekerja, sebaliknya menjadikan tugas mereka lebih cekap. Ini membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada keperluan pelanggan.” katanya yang ditemui selepas Twimbit Banking Summit & Awards 2026 disini.
Menurutnya, penggunaan AI dalam sektor perbankan Malaysia masih di peringkat awal, dengan pelaksanaannya ketika ini tertumpu kepada beberapa aplikasi dan projek perintis termasuk pengurusan kutipan serta perkhidmatan yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
Ujarnya, institusi perbankan mempunyai ruang luas untuk memperluas penggunaan teknologi itu, termasuk dalam automasi dokumentasi, perkhidmatan perbankan berasaskan suara dan penyediaan sokongan kepada kakitangan.
Bagaimanapun, katanya, peluasan penggunaan AI perlu mengambil kira keperluan kawal selia serta risiko berkaitan teknologi berkenaan.
Beliau turut menjangkakan skor pengalaman pelanggan perbankan Malaysia mampu mencapai empat mata atau lebih menjelang 2027.