
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Inisiatif dan insentif di bawah Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa industri sawit negara, khususnya dalam meningkatkan kebajikan dan produktiviti pekebun kecil.
- Program tanam semula sawit menjadi fokus utama untuk memastikan kelestarian industri jangka panjang.
- PTSS khusus untuk pekebun kecil dengan keluasan tanah antara 10 hingga 40 hektar.
- Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar faedah enam peratus; baki empat peratus ditanggung pekebun kecil.
- Penggunaan bahan tanaman bermutu tinggi dan baja berteknologi moden meningkatkan hasil serta pendapatan pekebun kecil.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Mohd Hefni Rusli berkata, program tanam semula sawit menjadi antara fokus utama bagi memastikan kelestarian industri dalam jangka panjang.
“Tanam semula sawit amat penting bagi menjamin kelestarian industri. Selain Skim Tanam Semula Sawit 2.0, kerajaan turut memperkenalkan Program Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (PTSS) khusus untuk pekebun kecil yang mempunyai keluasan tanah antara 10 hingga 40 hektar.
“Menerusi skim ini, kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar faedah pembiayaan bank sebanyak enam peratus, manakala baki empat peratus ditanggung oleh pekebun kecil,” katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri.
Menurut beliau, penanaman semula menggunakan bahan tanaman bermutu tinggi serta penggunaan baja berteknologi moden mampu meningkatkan hasil pengeluaran.
“Produktiviti sememangnya berkait rapat dengan pelaksanaan program tanam semula. Melalui penggunaan bahan tanaman bermutu tinggi yang mempunyai potensi hasil lebih baik, di samping penggunaan baja berteknologi moden, pekebun kecil dapat meningkatkan produktiviti tanaman sawit.
“Berdasarkan hasil yang direkodkan tahun lalu, kita melihat peningkatan pengeluaran sebanyak satu tan sehektar berbanding tahun sebelumnya,” jelas beliau.
Dengan harga sawit semasa dianggarkan antara RM4,300 hingga RM4,500 setan, usaha meningkatkan produktiviti penting bagi membolehkan pekebun kecil memanfaatkan peluang pasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi mereka.