
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Syarikat media digital Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, memperkenalkan identiti baharu, seeNI, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem kandungan digitalnya.
- Peralihan jenama mencerminkan aspirasi untuk menghimpunkan jenama, bakat dan komuniti dalam ekosistem bersepadu.
- Pendekatan berteraskan komuniti, kandungan dan komersial; fokus pada penghasilan kandungan relevan mengikut minat khalayak.
- Penyatuan jenama media seperti Media Hiburan, NONA, Remaja, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim, perubahan itu bertujuan menghimpunkan pelbagai jenama media, bakat kreatif dan komuniti dalam satu ekosistem bersepadu.
Katanya, seeNI yang mengetengahkan pendekatan berteraskan komuniti, kandungan dan komersial itu turut memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan yang relevan dengan keperluan serta minat khalayak.
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami,” katanya menerusi kenyataan.
Antara jenama media yang disatukan di bawah seeNI termasuk Media Hiburan, NONA, Remaja, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma.
Hala tuju baharu itu diperkenalkan menerusi acara The New World of seeNI di Petaling Jaya, yang turut mengetengahkan perancangan kandungan syarikat bagi tahun 2027.