ECERDC lepasi sasaran pelaburan, rekod RM10.3 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merekodkan pelaburan direalisasi berjumlah RM10.3 bilion bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini, dengan pencapaian sebanyak 104 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang, Mersing dan Segamat, menjana kira-kira 8,000 peluang pekerjaan.
  • ECERDC mencatat pelaburan komited RM13.2 bilion di seluruh wilayah.
  • Terengganu catat pelaburan direalisasi tertinggi RM4.8 bilion, disokong peluasan Pelabuhan Kemaman dan ladang solar terapung.
  • ECERDC memeterai dua MoU dengan TGA Solutions dan Infinity Landbridge Express untuk perkuat pelaburan serta infrastruktur industri dan logistik.

Pencapaian yang melepasi sasaran tahunan RM10 bilion itu merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, sekali gus menjana kira-kira 8,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Syamsul Farizz Nadzeri berkata, prestasi positif itu mencerminkan perkembangan aktiviti ekonomi merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, tenaga boleh baharu, logistik, pelancongan, pertanian dan pengeluaran makanan.

“Di sebalik angka pelaburan, jumlah pekerjaan yang diwujudkan mencerminkan peluang ekonomi yang sedang berkembang di seluruh wilayah.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur, kerajaan dan pemain industri bagi memudah cara pelaburan serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat membuka peluang yang bermakna kepada rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh sama, ECERDC turut merekodkan pelaburan komited berjumlah RM13.2 bilion di seluruh wilayah.

Jelas syarikat itu, Terengganu mencatatkan pelaburan direalisasi tertinggi sebanyak RM4.8 bilion, disokong oleh peluasan Pelabuhan Kemaman oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad bernilai RM2 bilion serta pembangunan ladang solar terapung bernilai RM1.9 bilion oleh TNB Power Generation Sdn Bhd.

“Pahang merekodkan pelaburan sebanyak RM1.7 bilion, termasuk pembangunan pusat pelancongan bersepadu bernilai RM568 juta dan kemudahan pembuatan sucralose bernilai RM400 juta, serta ladang durian bernilai RM274 juta,

“Selain itu, Kelantan pula mencapai sasaran pelaburan direalisasi sebanyak RM600 juta, terutamanya menerusi projek solar berskala besar bernilai RM294.5 juta oleh Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd,

“Segamat, Johor pula merekodkan RM3.3 bilion, didorong pembangunan loji solar hibrid oleh Lestra Hexa JV Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, ECERDC turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TGA Solutions Sdn Bhd dan Infinity Landbridge Express Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama menarik pelaburan serta membangunkan infrastruktur industri dan logistik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.