Penduduk sempadan negara diminta lapor ancaman sindiket

Foto hiasan

TUMPAT, 30 Oktober – Polis Kelantan menasihati orang ramai, terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sempadan, supaya tampil membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman keselamatan daripada sindiket penyeludupan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis memberi jaminan perlindungan penuh kepada pengadu dan saksi melalui Akta Perlindungan Saksi serta bantuan Jabatan Perdana Menteri.
  • Pendedahan di media sosial lebih berisiko; laporan rasmi kepada polis lebih efektif untuk membolehkan siasatan dan tangkapan.
  • Penguatkuasaan menunjukkan peningkatan ketara tangkapan PATI Januari hingga Oktober tahun ini kepada 4,837 orang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata masyarakat tidak perlu takut untuk berbuat demikian kerana pihak berkuasa memberi jaminan perlindungan penuh kepada pengadu atau saksi.

Tindakan mendedahkan kegiatan itu di media sosial lebih berisiko yang boleh mendatangkan ancaman. Sehubungan dengan itu, laporan rasmi kepada polis lebih efektif bagi membolehkan siasatan dan tangkapan dapat dijalankan.

“Kita mempunyai Akta Perlindungan Saksi dan orang awam tidak perlu bimbang untuk tampil memberikan maklumat.

“Bagi kes berprofil tinggi atau berkepentingan, kita boleh memohon bantuan Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan pemberi maklumat dan saksi mendapat perlindungan sepanjang proses siasatan serta prosiding mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi yang didakwa menjadi pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas dakwaan penduduk di kampung sekitar Sungai Kelantan yang didakwa menerima ugutan bersenjata api daripada sindiket penyeludupan PATI yang menjadikan kawasan terbabit sebagai lokasi pendaratan.

Dalam perkembangan berkaitan, statistik penguatkuasaan menunjukkan peningkatan ketara jumlah tangkapan PATI dari Januari hingga Oktober tahun ini kepada 4,837 orang, berbanding 2,452 orang pada 2025 dan 2,173 orang pada 2024.

Mengulas mengenai isu pelarian Myanmar Datuk Mohd Yusoff berkata, golongan tersebut tidak boleh ditahan sewenang-wenangnya sekiranya mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan sekiranya mereka melanggar undang-undang negara, melakukan jenayah, atau menyalahgunakan dokumen pengenalan diri yang dimiliki.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.