Kesiapsiagaan MTL: Agensi perlu rancang perolehan aset lebih awal

Datuk Meor Ismail Meor Akim

PUCHONG, 30 Oktober – Agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana diingatkan supaya membuat permohonan peruntukan dan keperluan aset lebih awal, dan tidak menunggu sehingga Monsun Timur Laut (MTL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses perolehan dan tender boleh mengambil masa sehingga enam bulan; rancang jadual pembelian lebih awal.
  • Agensi digalakkan kemukakan permohonan bantuan seawal Julai atau Ogos supaya persiapan selesai sebelum Oktober.
  • Pengurusan bencana memerlukan penyelarasan erat antara agensi persekutuan, negeri dan daerah.
  • Fahami beza ramalan hujan dengan ramalan banjir; risiko dipengaruhi hujan, geografi, paras sungai dan sistem saliran.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kelewatan mengemukakan permohonan boleh menjejaskan kesiapsiagaan agensi, khususnya apabila proses perolehan dan tender mengambil masa sehingga enam bulan.

“Sehubungan dengan itu, saya memohon agar agensi berkaitan mengemukakan permohonan bantuan seawal Julai atau Ogos supaya segala persiapan dapat diselesaikan sebelum Oktober. Ini kerana proses pembelian, khususnya yang melibatkan tender, memerlukan tempoh masa yang agak panjang,

“Bulan Oktober sepatutnya dah bersedia, bukan waktu itu baru nak minta bantuan atau bajet untuk membaiki bot. Kalau melibatkan pembelian dan tender, prosesnya mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan Sesi Libat Urus Bersama Media : Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL tahun 2026 di sini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pengurusan bencana bukan usaha satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelarasan erat antara agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan pantas dan berkesan.

Mengulas risiko cuaca sepanjang MTL 2026/2027, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memahami perbezaan antara ramalan hujan dengan ramalan banjir.

“Ini kerana ramalan hujan lebat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tidak semestinya dapat menentukan secara tepat bila dan di mana banjir akan berlaku,” jelasnya.

Risiko banjir turut dipengaruhi faktor lain, termasuk tempoh dan intensiti hujan, keadaan geografi serta paras sungai dan sistem saliran setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.