Komen melampau terhadap PDRM, seorang individu ditahan

Foto hiasan

TUMPAT, 30 Oktober – Polis Kelantan membuka tiga kertas siasatan dan menahan seorang daripada tiga individu yang didapati mengeluarkan komen negatif serta kenyataan melampau terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri itu di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hantaran berkait isu pelarian Myanmar dianggap anasir jahat yang bertujuan mencemarkan imej pasukan keselamatan.
  • Semua laporan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya; siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504, Seksyen 14 dan Seksyen 233.
  • PDRM bertanggungjawab menjaga keamanan; pihak polis terbuka kepada kritikan membina tetapi tindakan tegas terhadap penghinaan melampau dan fitnah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hantaran berunsur kecaman tersebut berkait dengan isu pelarian Myanmar, yang disifatkan sebagai anasir jahat bertujuan mencemarkan imej pasukan keselamatan.

Ketika ini semua laporan berada dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Jangan mengeluarkan komen melampau sehingga boleh menjejaskan imej pasukan polis. PDRM bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Tindakan boleh diambil terhadap individu yang membuat komen sedemikian kerana perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan imej pasukan, malah boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di perairan Tumpat, bermula dari Pengkalan Kubor melalui delta Sungai Kelantan hingga ke Lembah Sireh, Kota Bharu yang didakwa menjadi lokasi pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan membina demi penambahbaikan, namun tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan penghinaan melampau, fitnah, atau menggugat ketenteraman awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.