
Saratok, 30 Oktober – Seorang lelaki yang menyamar sebagai bomoh dan dipercayai menipu seorang wanita sehingga menyebabkan kerugian lebih RM554,000 pada Oktober tahun lalu, berjaya diberkas polis di Sibujaya, semalam, selepas lebih setahun diburu.
- Suspek menyamar sebagai bomoh, mendakwa mampu menyelesaikan isu tanah dari jarak jauh menggunakan kebolehan luar biasa.
- Suspek mengenakan bayaran tinggi untuk barangan upacara; mangsa membuat enam transaksi ke beberapa akaun bank.
- Polis melancarkan operasi selepas laporan RTM, menahan suspek hasil risikan dan maklumat orang awam; kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu dipercayai memperdaya mangsa berusia 64 tahun dengan mendakwa mampu menyelesaikan masalah berkaitan tanah milik wanita berkenaan dari jarak jauh menerusi kebolehan luar biasa yang didakwa dimilikinya.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek mengenakan bayaran yang tinggi kepada mangsa atas alasan untuk membeli barangan bagi menjalankan upacara ritual miring.
Menurut beliau, mangsa bersetuju dengan pujukan suspek selepas mereka bertemu di sebuah kedai kopi di Sibujaya.
“Mangsa kemudian membuat enam transaksi ke akaun bank berbeza sebelum mbeliau memaklumkan perkara itu kepada RTM di Kuching.
Susulan laporan itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di Sibujaya hasil risikan serta maklumat orang awam dan kemudian dibawa ke Saratok untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.