Verstappen bangkit, tamatkan penantian 309 Hari

Max Verstappen menyifatkan kejayaannya cukup istimewa buat pasukannya selepas mengharungi permulaan musim yang sukar./ RTM

SEPANG, 4 Oktober – Juara dunia, Max Verstappen menamatkan kemarau kemenangan selama 309 hari selepas mempamerkan pemanduan cemerlang untuk menjuarai perlumbaan penuh dramatik Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan itu istimewa untuk pasukan selepas permulaan musim sukar, hasil kerja keras dan peningkatan jentera.
  • Menjadi kemenangan ke-72 karier Verstappen dan kemenangan sulung untuk projek unit kuasa Red Bull Powertrains.
  • Berhadapan masalah klac dan kehilangan kuasa pada permulaan, beliau kekal tenang dan kembali mengejar untuk meraih kemenangan.

Kemenangan itu merupakan yang ke-72 dalam kariernya bersama Red Bull Racing, selain mencipta sejarah sebagai kemenangan sulung bagi projek unit kuasa kendiri pasukan itu, Red Bull Powertrains.

Bercakap pada sidang media selepas perlumbaan, pemandu kelahiran Belanda itu menyifatkan kejayaan berkenaan cukup istimewa buat pasukannya selepas mengharungi permulaan musim yang sukar.

“Sudah tentu ia sangat istimewa untuk kami. Kami mengharungi permulaan musim yang sukar dan rumit dengan pelbagai masalah serta jentera yang kurang berdaya saing.

“Namun, pasukan terus bekerja keras sepanjang musim untuk memahami masalah yang dihadapi, membawa pakej naik taraf yang baik dan menjadikan jentera lebih mudah dipandu.

“Melangkah setapak demi setapak, kami semakin hampir dan akhirnya kembali berada pada prestasi terbaik,” katanya.

Perlumbaan bagaimanapun bermula dengan penuh cemas buat Verstappen apabila jenteranya mengalami masalah ketika pelepasan, menyebabkan beliau kehilangan kuasa sebaik klac dilepaskan.

Situasi itu membolehkan dua pelumba Mercedes memintasnya dari kedua-dua belah, namun Verstappen kekal tenang untuk kembali memburu kedudukan hadapan.

“Permulaan saya sangat teruk sekali lagi apabila klac dilepaskan dan kuasa hilang, enjin hampir mati.

“Namun, anda perlu bertenang, elakkan tindak balas berlebihan dan kekalkan kedudukan. Perlumbaan masih panjang dan perlahan-lahan saya merapatkan jurang,” jelasnya.

Kemenangan di Sepang itu sekali gus menyuntik keyakinan baharu buat Red Bull menjelang perlumbaan seterusnya di Singapura, selain menjadi petanda bahawa usaha pasukan membangunkan unit kuasa sendiri mula membuahkan hasil di pentas tertinggi Formula 1.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.