Lewis pamer aksi luar biasa, tamatkan perlumbaan di tempat ke-3

Lewis Hamilton

SEPANG, 4 Oktober – Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton mempamerkan salah satu pemanduan paling luar biasa musim ini apabila bangkit daripada kedudukan ke-17 dan ketinggalan lebih seminit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di atas podium.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jentera hilang kuasa, Hamilton terpaksa matikan dan hidupkan semula enjin; hampir gagal lengkapi pusingan formasi dan tergelincir jauh ke belakang.
  • Pasukan ambil risiko mulakan perlumbaan dengan tayar lembut di permukaan basah; Hamilton memilih kekal di litar, enggan masuk tukar tayar.
  • Bertahan 29 pusingan, jimat satu hentian; kepantasan kru dan strategi bantu beliau memintas. Beliau berbangga dan mahu perbaiki.

Perlumbaan bermula dengan isu teknikal apabila jentera Hamilton kehilangan kuasa di atas litar sehingga beliau terpaksa mematikan dan menghidupkan semula enjinnya sebelum kembali ke lorong pit.

Situasi bertambah rumit apabila pasukannya mengambil keputusan berisiko tinggi untuk memulakan perlumbaan dengan set tayar lembut, walaupun sebahagian besar pesaing memilih tayar perantaraan.

“Saya sedikit kecewa apabila melihat dua pemandu di hadapan menanggalkan pemanas tayar dan mereka menggunakan tayar perantaraan.

“Sebaik sahaja kami keluar, percikan air dari jentera Max kelihatan dan saya tahu kami dalam masalah besar,” kata juara dunia tujuh kali itu.

Akibat permukaan litar yang basah, Hamilton hampir gagal melengkapkan pusingan formasi dan tergelincir jauh ke belakang sementara lawan memintasnya dengan mudah.

Pasukan sempat bertanyakan sama ada beliau mahu masuk menukar tayar, namun Hamilton memilih untuk kekal di litar.

“Saya kata tidak, keputusan sudah dibuat dan tiada beza lagi sama ada ketinggalan 26 saat atau seminit lebih. Lebih baik tunggu litar kering,” ujarnya.

Percaturan itu akhirnya membuahkan hasil apabila permukaan litar mula mengering. Hamilton berjaya bertahan selama 29 pusingan menggunakan tayar lembut, membolehkannya menjimatkan satu hentian pit.

Ditambah dengan kepantasan kru mekanik di garaj serta strategi yang tersusun, beliau mula memintas satu demi satu jentera.

“Saya tidak pernah menyangka dapat kembali ke podium hari ini. Saya sangat berbangga dengan kerja keras semua mekanik dan jurutera kami.

“Kami tahu ada aspek yang perlu diperbaiki, tetapi kami akan bangkit berjuang semula minggu hadapan,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.