
SHAH ALAM, 4 Oktober – Barisan Nasional (BN) masih sangat terbuka untuk berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- BN masih sangat terbuka berbincang dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi PRN Melaka.
- Gabungan akhir untuk PRN akan dimuktamadkan selepas mesyuarat khas SPR pada 7 Oktober.
- Mesyuarat SPR akan membincangkan tarikh writ, hari penamaan calon dan hari pengundian PRN Melaka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan akhir yang bakal bekerjasama dalam PRN berkenaan akan dimuktamadkan selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober ini.
“Ya, kami sangat terbuka,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai kemungkinan BN meneruskan perbincangan dengan PH.
Beliau berkata, selepas mesyuarat SPR itu, pengumuman akan dibuat berhubung gabungan yang bakal bekerjasama atau menjalin kesefahaman bagi menghadapi PRN Melaka.
“Selepas itu, akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bekerjasama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad.
SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.