
PUTRAJAYA, 4 Oktober – Malaysia mencipta kelainan dalam mempromosikan pelancongan menerusi sektor automotif apabila lebih 100 kenderaan mewah Lamborghini menyertai Citrawarna Speed Festival 2026 di IOI City Mall Putrajaya, hari ini.
- Pendekatan penganjuran konvoi diyakini mampu menarik minat pelancong antarabangsa, khususnya penggemar automotif.
- Citrawarna Speed Festival bertema "Art, Culture, Speed, Together" dan "Malaysia Moves Together", gabungkan budaya automotif, hiburan dan promosi pelancongan.
- Pemilik kenderaan jadi duta Tahun Melawat Malaysia dengan pelekat kempen; Tourism Malaysia manfaatkan sukan permotoran dan platform digital.
Konvoi eksklusif anjuran Lamborghini Owners Malaysia (LOM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dilepaskan dari IOI City Mall, Putrajaya pada 12 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan mengikut laluan yang ditetapkan menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata pendekatan berkenaan diyakini mampu menarik perhatian pelancong antarabangsa, khususnya dalam kalangan penggemar automotif.
“Acara terbesar ini kita laksanakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pasti mampu menarik minat para penggemarnya yang tersendiri. Kita harapkan sokongan semua pihak dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027,” katanya.
Mengangkat tema “Art, Culture, Speed, Together” dan “Malaysia Moves Together”, Citrawarna Speed Festival 2026 menggabungkan elemen budaya automotif, hiburan dan promosi pelancongan.
Sementara itu, Presiden LOM, Roslan Rosdi berkata, pemilik kenderaan yang menyertai konvoi berkenaan turut menjadi duta Tahun Melawat Malaysia kerana setiap kenderaan dihiasi pelekat kempen berkenaan.

Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Sementara itu, Tourism Malaysia memaklumkan penganjuran itu turut memanfaatkan daya tarikan sukan permotoran dan keunikan gaya hidup automotif bagi memperkenalkan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, termasuk menerusi liputan media sosial dan platform digital.