Belanjawan 2027 perkukuh reformasi ekonomi, pastikan rakyat tidak tercicir

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan./ RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan disiplin fiskal menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memastikan Malaysia mampu mencapai aspirasi negara maju sebelum 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 kesinambungan reformasi ekonomi dan fiskal, memastikan perbelanjaan membina negara dan sampai kepada rakyat.
  • Merapatkan jurang sosioekonomi supaya manfaat pembangunan dinikmati secara menyeluruh, elak golongan tertinggal.
  • Kawal defisit dan hutang, kekal disiplin fiskal untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta sokong pelaburan dan industri baharu.
  • Tumpu pembangunan modal insan; perluasan pengalaman industri, penguasaan AI dan kemahiran digital bagi kebolehpasaran dan produktiviti.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2027 bukan sekadar perancangan perbelanjaan tahunan, sebaliknya kesinambungan agenda reformasi ekonomi dan fiskal bagi memastikan kemajuan negara turut meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi perlu disertai usaha merapatkan jurang sosioekonomi supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa ada golongan yang ketinggalan.

“Yang penting ialah memastikan apa yang kita belanjakan itu juga membina negara yang lebih baik dan sampai kepada rakyat dengan cara yang lebih baik.

“Kita juga harus melihat macam mana untuk mengimbangkan sedikit perbezaan yang ada, jadi bila Malaysia bergerak ke depan rakyat bergerak ke depan bersama, tak ada sesiapa tertinggal di belakang,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif terbitan RTM bertajuk ‘Belanjawan 2027: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi’, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyamakan aspirasi pembangunan negara dengan pertumbuhan pokok yang memerlukan akar kukuh untuk tumbuh tinggi, sekali gus menggambarkan kepentingan asas ekonomi dan pengurusan kewangan yang mampan dalam merealisasikan matlamat jangka panjang negara.

Pendekatan itu katanya, selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan siling ekonomi dan menaikkan lantai kesejahteraan rakyat, selain melaksanakan reformasi fiskal secara bertanggungjawab.

Dalam memastikan kemampanan kewangan negara, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha mengawal defisit dan hutang supaya beban kewangan tidak dipindahkan secara berlebihan kepada generasi akan datang.

Disiplin fiskal juga penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, sekali gus menyokong kemasukan pelaburan dan merancakkan pembangunan industri baharu.

Dalam aspek pembangunan modal insan, Datuk Seri Amir Hamzah berkata kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang graduan mendapatkan pengalaman industri serta meningkatkan penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital.

Langkah itu penting bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, produktiviti serta keupayaan rakyat memenuhi keperluan industri yang semakin berubah seiring perkembangan teknologi.

Pada masa sama, pendigitalan sektor kerajaan turut menjadi antara pendekatan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan membuka peluang kepada pertumbuhan industri baharu.

Beliau berkata, kejayaan Belanjawan 2027 akhirnya perlu diukur berdasarkan keupayaannya menterjemahkan pertumbuhan ekonomi dan pembaharuan yang dilaksanakan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan serta kesejahteraan rakyat.

Ini bagi memastikan usaha membawa Malaysia ke tahap pembangunan lebih tinggi bergerak seiring dengan pengukuhan kedudukan fiskal dan pengurangan jurang sosioekonomi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.