
KUALA LUMPUR, 5 November – Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menasihati orang ramai supaya mematikan fungsi muat turun automatik media di aplikasi WhatsApp dan Telegram bagi mengelakkan peranti terdedah kepada serangan siber.
- Berhati-hati terhadap fail .vbs yang menyamar sebagai dokumen kewangan dan perundangan, diedarkan melalui WhatsApp Web pada Windows.
- Fail mencurigakan berpotensi beri akses kawalan jauh dan mencuri maklumat sensitif pengguna.
- Jangan buka fail .apk .zip .iso .exe tidak dijangka; sahkan pengirim, padamkannya, kemas kini peranti, tukar kata laluan dan laporkan insiden.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, agensi itu memberi amaran mengenai penyebaran fail berformat ‘.vbs’ yang menyamar sebagai dokumen kewangan dan perundangan melalui WhatsApp Web pada sistem operasi Windows.
Fail mencurigakan itu berpotensi menjadi pintu masuk kepada serangan siber yang membolehkan penjenayah mengawal peranti dari jauh, selain mencuri maklumat sensitif pengguna.
“Sehubungan itu, pengguna WhatsApp disaran menetapkan fungsi muat turun automatik kepada ‘Never’ bagi semua jenis media menerusi tetapan ‘Storage and Data’ pada peranti Android dan iPhone.
“Bagi pengguna WhatsApp Web dan desktop, fungsi berkenaan boleh dimatikan melalui tetapan ‘Chats’ dan ‘Media Auto-download’,” kata NACSA.
Pengguna Telegram turut disaran mematikan fungsi ‘Automatic Media Download’ menerusi tetapan ‘Data and Storage’ pada peranti mudah alih, manakala pengguna Telegram Desktop boleh berbuat demikian melalui tetapan ‘Advanced’.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak membuka fail mencurigakan seperti berformat ‘.apk’, ‘.zip’, ‘.iso’ dan ‘.exe’, selain mengesahkan identiti pengirim melalui panggilan telefon sekiranya menerima fail yang tidak dijangka.
Elakkan daripada menyebarkan fail berkenaan dan memadamkannya dengan segera, selain memastikan aplikasi serta sistem operasi peranti sentiasa dikemas kini.
Sekiranya terbuka fail mencurigakan secara tidak sengaja, pengguna disaran memutuskan sambungan internet dan menukar kata laluan akaun penting menggunakan peranti lain yang selamat.
Hubungi segera pihak bank sekiranya maklumat perbankan terjejas, selain mendapatkan bantuan teknikal dan melaporkan insiden kepada pihak berkaitan.