
SANDAKAN, 5 November- Seramai 909 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dipindahkan ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.
- 802 warga Filipina dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City menggunakan kapal MV Antonia 1; 107 warga Indonesia dihantar melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan.
- Pemindahan terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang setakat ini seramai 8,405 orang.
- Kesemua tahanan telah selesai menjalani hukuman dan memiliki dokumen perjalanan sah bagi membolehkan proses pemindahan ke negara asal.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah itu, 802 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City menggunakan kapal MV Antonia 1.
Manakala 107 warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan menggunakan feri komersial.
Menurutnya, pemindahan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang ke negara asal setakat ini seramai 8,405 orang.
“Sehingga hari ini, seramai 6,165 tahanan warga Filipina telah dihantar pulang, diikuti 1,896 warga Indonesia, 142 warga China, 139 warga Pakistan, 29 warga Vietnam dan 34 warga negara lain,” katanya pada sidang media di Depot Imigresen Sandakan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua tahanan yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan yang sah bagi membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.