Banjir kilat di Puncak Alam beransur surut, kerja pembersihan giat dijalankan

Keadaan jalan di sekitar Puncak Alam yang masih digenangi air./ RTM

SHAH ALAM, 5 November – Keadaan banjir kilat di sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dilaporkan telah surut sepenuhnya, susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan sekitar Puncak Alam dan Saujana Utama, Sungai Buloh petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan pantas MPKS giat menjalankan kerja pembersihan di laluan keluar masuk berhampiran Eco Grandeur.
  • Beberapa kawasan sekitar Puncak Alam masih digenangi air dan sebahagian premis terjejas.
  • JBPM digerakkan ke lokasi; MetMalaysia ramal ribut petir di Selangor; orang ramai dinasihatkan berwaspada.

Tinjauan RTM mendapati keadaan di kawasan terjejas, banjir beransur surut, manakala pasukan pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) kini giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di laluan keluar masuk kawasan perumahan berhampiran Eco Grandeur.

Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh pasukan pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sekitar kawasan perumahan Eco Grandeur, Puncak Alam./ RTM

Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan di sekitar Puncak Alam yang masih digenangi air.

Terdahulu, hujan lebat berterusan sehingga pukul 5 petang mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat, termasuk Alam Suria, Taman Seri Alam serta Jalan Meru menghala ke Puncak Alam berhampiran simpang Kampung Bukit Cerakah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

Antara kawasan yang masih ditenggelami air, menjejaskan sebuah restoran makanan segera di Puncak Alam./ RTM

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya yang tiba di Tadika UiTM Kampus Puncak Alam pada pukul 5.26 petang susulan panggilan kecemasan mendapati air di kawasan berkenaan telah surut sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan banjir kilat di Taman Seri Alam, Saujana Utama berpunca daripada limpahan air dari kawasan takungan berhampiran akibat hujan lebat.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berterusan di sebahagian besar kawasan di Selangor, termasuk daerah Kuala Selangor pada petang dan malam ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.