
SHAH ALAM, 5 November- Kerja-kerja pembinaan jambatan sementara jenis Bailey di Kampung Kubu Gajah, Selangor dimulakan hari ini bagi menggantikan jambatan yang runtuh akibat hakisan tebing Sungai Subang susulan banjir kilat awal pagi semalam.
- Kerja awal melibatkan penyediaan tapak dan pengalihan tiang utiliti, dijangka selesai dalam tempoh seminggu.
- Pemasangan jambatan sementara oleh Pasukan Jambatan Bailey JKR Daerah Petaling bermula 13 November, dijangka dua minggu, kos dianggarkan RM350,000.
- Jambatan runtuh di dua bahagian akibat arus sungai deras, menyebabkan laluan utama antara Kampung Kubu Gajah dan Kampung Paya Jaras Hilir terputus.
- Pembinaan jambatan baharu dijangka bermula awal tahun depan dengan anggaran kos RM20 juta; JKR sedang menjalankan kerja ukur sehingga 16 November.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata kerja awal itu melibatkan penyediaan tapak dan pengalihan tiang utiliti yang dijangka selesai dalam tempoh seminggu.
Menurutnya, pemasangan jambatan sementara oleh Pasukan Jambatan Bailey Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling dijadual bermula 13 November ini dan dijangka mengambil masa dua minggu dengan kos dianggarkan RM350,000.
Beliau berkata, jambatan berkenaan runtuh di dua bahagian akibat arus sungai yang deras, sekali gus menyebabkan laluan utama menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Kampung Paya Jaras Hilir terputus.
“Arus sungai yang kuat menyebabkan keruntuhan di dua bahagian jambatan lama itu. Kita sudah mengambil langkah mengawal trafik dan mencadangkan laluan lencongan kepada pengguna jalan raya.
“Dalam masa sama, kita mengambil langkah memasang jambatan sementara jenis Bailey di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, laluan utama berkenaan ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan, manakala pengguna jalan raya perlu menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Merbau Sempak dari FT54 ke Kampung Kubu Gajah serta Jalan Paya Jaras Hilir dari FT54 ke Kampung Paya Jaras Hilir.
Dalam perkembangan berkaitan, pembinaan jambatan baharu di lokasi sama dijangka bermula awal tahun depan dengan anggaran kos RM20 juta.
Datuk Izham berkata JKR Selangor sedang menjalankan kerja-kerja ukur di lokasi berkenaan yang dijangka selesai pada 16 November ini sebagai persediaan bagi pembinaan jambatan baharu.
Semalam, JKR Daerah Petaling melaporkan, struktur jambatan di Jalan Kubu Gajah runtuh kira-kira 2.00 pagi Rabu akibat arus deras Sungai Subang susulan banjir kilat akibat hujan lebat.